Kampus & Pendidikan 05 Sep, 2023

16 tahun tertangguh! Mercu tanda ikonik, terbaharu UPM! Menara Jam Warisan Budi bakal gah berdiri!

@zul akmar jamaludin
Memulakan kerjaya sebagai wartawan pada 2001 di tabloid Warta Perdana dan di majalah Variapop pada tahun 2002. Kemudian menyambung kerjaya sebagai wartawan majalah Mingguan Wanita di Kumpulan Media Karangkraf. 📧: [email protected]

Share this


Hampir 16 tahun tertangguh pembinaannya bukan satu jangka masa yang singkat. Pelbagai rintangan dan cabaran dilalui namun ia sedikitpun tidak mematahkan semangat dan azam warga Universiti Putra Malaysia (UPM) untuk melihat Menara Jam Warisan Budi berdiri gah!

Majlis serah tapak pembinaan kerja-kerja pembinaan menara ini telah pun berlangsung pada 23 Ogos 2023 lalu di Umai Café, Kolej Tan Sri Aishah Ghani (KTAG).

Simbolik penyerahan tugas pembinaan ialah daripada Pengarah Pembangunan Aset UPM, Ir. Maznah Sahran kepada Pengarah Urusan Syarikat Fitrah Bitrade Sdn Bhd, iaitu kontraktor yang bertanggungjawab menyiapkan keseluruhan pembinaan yang dijangka siap sepenuhnya pada April 2024.


Prof. Dr. Roslan Sulaiman memegang ilustrasi Menara Jam Warisan Budi Putra yang bakal siap April 2024.


Majlis yang penuh bersejarah bagi UPM ini turut disaksikan oleh Naib Canselor UPM, Dato’ Prof. Dr. Roslan Sulaiman dan juga Pengarah Pusat Perhubungan Alumni, Prof. Madya Dr. Arba’ie Sujud.

Kos pembinaan menelan belanja hampir RM1.6 juta dan lebih istimewa serta memberi erti mendalam apabila kos ini adalah sumbangan daripada alumni UPM daripada pelbagai latar dan bidang.

Kebersamaan para alumni telah berjaya membangunkan menara ini berhadapan bangunan pentadbiran utama UPM. Bakal menjadi sebuah menara yang ikonik dan menjadi satu pusat sehenti untuk para pelajar UPM berkumpul, berdiskusi dan menjadi tumpuan pelajar pada hari konvokesyen.

Pusat Perhubungan Alumni UPM selaku entiti di bawah Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, telah diberikan amanah serta tanggungjawab dalam mengawal selia proses pembinaan menara jam ini. 

Tidak berseorangan, mereka mendapat kerjasama dari Pejabat Bursar UPM, Pusat Pembangunan dan Pengurusan Aset UPM, Fakulti Reka Bentuk dan Seni Bina UPM, Pusat Strategi dan Komunikasi Korporat UPM, UPM Holding, Perunding Utama dari Baderulzaman Arkitek dan para alumni UPM.


Libat sama kehadiran pelajar bagi menyemai semangat kebersamaan.


Akhirnya pada 23 Ogos 2023, projek ini telah menampatkan keberhasilan dan bakal siap pada tarikh dan jangkaan yang telah ditetapkan.

Menurut Dr. Arba’ie, pembinaan Menara Jam Warisan Budi ini penting kerana ini adalah satu interpretasi daripada seluruh alumni UPM dalam usaha menyatakan kebersamaan mereka dalam bersama-sama membawa nama UPM ke peringkat tertinggi sebagai sebuah universiti awam terbaik di Malaysia dan juga pada peringkat antarabangsa.

“Ini adalah simbolik kepada penyataan para alumni UPM yang ingin menzahirkan bahawa mereka bersama-sama dengan universiti dalam pelbagai usaha dan hasrat untuk membangun anak bangsa," tambahnya.

Menara yang menelan kos pembinaan besar ini menjadi satu tanda kejayaan yang luar biasa telah dizahirkan dan bakal dimanfaatkan oleh seluruh warga UPM terutama kepada pelajar UPM.

"Pusat Perhubungan Alumni perlu terus siap siaga dalam menjadi sebuah entiti penghubung antara alumni dan universiti. Dengan kekuatan pelbagai aktiviti dan program yang ada, penglibatan alumni perlu lebih dimaksimumkan lagi agar ‘budaya menyumbang dengan seluhur budi’ itu terus dapat disemarakkan lagi,” katanya lagi. 

Lebih memberi makna lagi, majlis serah tapak ini juga berlangsung pada tarikh penuh makna kepada Pusat Perhubungan Alumni, apabila ia jatuh pada tarikh akhir perkhidmatan Dr. Arba’ie yang telahpun bersara wajib pada 23 Ogos 2023. - KitaReporters


Para pegawai UPM turut hadir tanda memberi sokongan.

 

17
12
0
11
0
You will be interested