Kampus & Pendidikan 30 Jun, 2022

Tahniah! Kolej 17 UPM kini dikenali sebagai Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee! Penjenamaan semula!

@nur syamila kamarul arefin
Alumni Universiti Sains Malaysia dalam bidang kewartawanan. Pernah berkhidmat sebagai seorang wartawan dan juga penulis di dua buah syarikat. Masih lagi belajar menjadi seorang penulis.

Share this

Kolej 17 UPM kini dikenali sebagai Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee


Kolej 17 Universiti Putra Malaysia (UPM) telah melancarkan nama baharunya iaitu Kolej Tan Sri Mustaffa Babjee pada Majlis Makan Malam Kilauan Berjasa ke-14.

Pengetua Kolej 17, Prof Madya Dr Jasronita Jasni berkata pertukaran nama tersebut merupakan satu inisiatif yang diambil oleh pengurusan UPM dalam usaha penjenamaan semula nama-nama kolej kediaman berinspirasikan nama tokoh terkemuka yang berkaitan dengan bidang pelajaran pelajar.


“Umum mengetahui bahawa Allahyarham Tan Sri Mustaffa Babjee merupakan tokoh akademik terkemuka dalam bidang perubatan, perubatan veterinar serta sains kesihatan yang telah banyak menyumbang bakti sama ada pada peringkat kebangsan mahupun antarabangsa. 

“Usaha penjenamaan semula kolej ini juga telah bermula sewaktu Naib Canselor UPM, Prof Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman menyandang jawatan sebagai Timbalan Naib Canselor UPM manakala Prof Dr Daud Ahmad Israf Ali sebagai pengetua Kolej 17,” katanya.

Majlis yang berlangsung di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS) UPM itu turut meraikan pelajar yang telah berbakti kepada Kolej 17 sepanjang sesi 2021/2022.

Prof Madya Dr Jasronita berkata pihaknya ingin melihat pelajar Kolej 17 dapat melahirkan kelompok siswazah yang berkualiti dan memenuhi kehendak keperluan pekerjaan yang semakin kompetitif.



"Perkara ini sejajar dengan Matlamat Satu dalam Pelan Strategik UPM 2021-2025 iaitu Melahirkan Watak Graduan Berdaya Tahan Mendepani Cabaran Mendatang. 

“Justeru itu, penganjuran program yang bersifat holistik adalah penting untuk membentuk keseimbangan spiritual, fizikal, emosi dan intelek bakal graduan,” katanya ketika berucap.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Tengku Syarif Laksamana Perlis Dato’ Sri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail; Naib Canselor UPM, Prof Dato’ Dr. Mohd Roslan Sulaiman; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Ismi Arif Ismail; dan waris kepada Allahyarham Tan Sri Ahmad Mustaffa Babjee. - KitaReporters


 

10
14
0
15
0
You will be interested