Kampus & Pendidikan 06 May, 2021

Balik raya: Pelajar UUM dibenarkan pulang kecuali ke Sarawak! Pergerakan dari 7 hingga 11 Mei

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this


SELARAS dengan kenyataan media Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bertarikh 29 April 2021 berkaitan Pergerakan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Pulang Sempena Cuti perayaan Aidilfitri 2021, pihak Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengambil maklum dan membenarkan pelajarnya pulang ke rumah masing-masing bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri kecuali pelajar dari Sarawak.

Naib Canselor UUM Prof Dato’ Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, pihak UUM memberi pilihan sama ada pulang ke rumah atau kekal berada di kampus  sempena hari raya ini.


Lagi laporan-laporan lengkap berkaitan UUM

Naib Canselor UUM Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani.  


Katanya, bagi pelajar yang memilih untuk pulang ke rumah mereka perlu mengisi borang pendaftaran pergerakan pulang yang bermula 30 April lalu hingga 3 Mei 2021. 

"Pelajar yang dibenarkan pulang ialah mereka yang memiliki kenderaan sendiri, dijemput oleh waris, ibu bapa dan bas sewaan khas yang dibenarkan seperti arahan KPT," sambung beliau.

Dr Ahmad Bashawir juga menasihatkan 1,049 pelajar yang akan mula pulang mulai 7 Mei hingga 11 Mei 2021 kesemua destinasi di Semenanjung supaya mendapatkan surat pelepasan perjalanan rentas negeri atau daerah yang dikeluarkan oleh Pusat Penginapan Pelajar (SAC) sebelum bergerak pulang.


Gambar hiasan... Dr Ahmad Bashawir  Abdul Ghani (tiga dari kanan) ketika meninjau pelajar pulang semasa COVID-19 pada tahun 2020.


Sementara itu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Madya Dr Hendrik Lamsali menasihatkan pelajar supaya sentiasa memakai pelitup muka, mengamalkan penjarakan fizikal di semua tempat dan kerap mencuci tangan atau menggunakan hand sanitizer.

"Bilik gerakan Pengurusan Bencana UUM boleh dihubungi menerusi talian 04-9284177 atau 019-4151201 (Dekan Hal Ehwal Pelajar Prof Madya Dr Massudi Mahmuddin) sekiranya mempunyai sebarang pertanyaan," katanya lagi.


 

Muhammad Hazwan Ismail mengemas pakaian untuk pulang beraya di Parit Buntar, Perak.


Dalam pada itu beberapa pelajar yang ditemui gembira dengan pengumuman KPT dan UUM yang membenarkan mereka pulang untuk menyambut raya bersama keluarga.

“Saya terkejut bila dimaklumkan kami dibenarkan untuk pulang beraya walaupun sebelum ini semasa memohon masuk semula ke kampus untuk sesi pengajian kami diberitahu kemungkinan tidak dibenarkan pulang beraya nanti," ujar Muhammad Hazwan Ismail dari Parit Buntar, Perak. 

Anak kedua daripada tiga beradik ini teruja untuk pulang beraya bersama keluarga selepas diberi kebenaran oleh KPT dan UUM.

“Saya akan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) dan sentiasa memakai pelitup muka dan menggunakan hand sanitizer ketika dalam perjalanan pulang ke kampung menaiki kenderaan sendiri nanti," katanya ketika ditemui semasa mengemas pakaian di biliknya.


Mohamad Shahrul Samsudin pulang ke Larkin, Johor.


Manakala pelajar semester enam Ijazah Sarjana Muda Sains ekonomi dengan kepujian Mohamad Shahrul Samsudin berkata, kebenaran pulang yang diberikan ini memberi kegembiraan bukan sahaja kepadanya malah keluarganya juga.

"Apabila saya memaklumkan kepada emak dan ayah akan pulang beraya di Larkin, Johor mereka amat gembira," katanya ketika ditemui.


Nor Hanisah Salleh balik ke Kelantan.


Manakala Nor Hanisah Salleh yang akan pulang ke Kelantan dengan menaiki bas dari UUM tidak sabar untuk pulang kerana merindui sembilan ahli keluarganya.

"Riuh-rendah pada pagi raya dengan hidangan ketupat, rendang, tapai dan nasi impit menjadi igauannya," kata Nor Hanisah lagi.

Bagi Presiden Inapan Siswa Grant dan TM Ikhwan Zulkefli pula yang memilih untuk beraya di kampus berharap pelajar yang akan pulang sentiasa menjaga keselamatan mereka dalam perjalanan nanti. 

"Ketika menyambut raya jangan lupakan kami di kampus ini dan saya juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri," katanya lagi. - KitaReporters


Presiden Inapan Siswa Grantt dan TM Ikhwan Zulkefli.

7
0
0
0
1
You will be interested