Kampus & Pendidikan 19 Apr, 2022

Syabas UMT! Sumbangan zakat bernilai RM1.3j! 2,100 pelajar asnaf, B40 terima zakat dan komputer!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Dr Mazlan sedang menyampaikan ucapan sempena majlis berbuka puasa bersama penyumbang dan pelajar.


SERAMAI 2,100 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang tergolong dalam kumpulan asnaf dan B40 mendapat manfaat menerusi agihan zakat dan bantuan komputer.

Naib Canselor UMT, Profesor Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar berkata, sumbangan zakat bernilai RM1.3 juta tersebut untuk membantu pelajar-pelajar terbabit melalui Pusat Islam Sultan Mahmud (PISM) itu adalah hasil kerjasama dengan badan koporat negara ini.

Sehubungan itu, UMT melalui PISM berbesar hati meraikan asnaf pelajar dalam satu majlis berbuka puasa bersama Naib Canselor dengan mengagihkan sumbangan zakat badan korporat bernilai RM1.3 juta itu serta bantuan komputer riba kepada pelajar asnaf UMT. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan pemberian zakat

Dr Mazlan  (enam dari kiri) bersama pelajar yang menerima sumbangan zakat dan komputer. - Kredit gambar: Media Kreatif UMT


Katanya, seramai 2,000 pelajar terbabit menerima agihan zakat manakala 100 pelajar asnaf pula menerima sumbangan komputer dengan Jumlah agihan bernilai RM200,000 daripada sumbangan Lembaga Tabung Haji Malaysia.

Menurut Dr Mazlan, melalui skim bantuan yang dilaksanakan oleh Pusat Islam Sultan Mahmud, terdapat agensi dan sektor korporat yang bermurah hati memberikan sumbangan zakat, antaranya melalui Program Iqra' Tabung Haji yang berjumlah RM750,000.

Tambahnya, pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah memberikan kesan buruk kepada hampir semua sektor dan antara yang paling terkesan adalah sektor ekonomi negara.

“Sudah pasti, golongan yang paling terjejas menghadapi situasi ini ialah masyarakat yang dikategorikan sebagai asnaf dan B40. Ditambah lagi jika ada ahli keluarga kumpulan ini yang menyambung pengajian ke peringkat Institusi Pengajian Tinggi,” katanya pada majlis berbuka puasa bersama penyumbang dan penerima di Dewan Sultan Mizan UMT pada 18 April 2022 lalu.


Sebahagian pelajar-pelajar yang menjadi penerima zakat dan sumbangan komputer 


Katanya, impak kewangan yang dihadapi itu lebih terasa kerana ianya sedikit sebanyak menjejaskan kehidupan pelajar IPT yang datang daripada kumpulan asnaf dan B40, yang mana memerlukan sumber kewangan yang mencukupi bagi menyokong aktiviti pengajaran dan pembelajaran di kampus.

Menyedari hakikat itu, katanya, UMT melalui Pusat Islam Sultan Mahmud UMT menggerakkan inisiatif untuk membantu golongan ini mendapatkan seberapa banyak sumbangan daripada pelbagai sektor korporat dan agensi berkaitan.

Beliau berkata, sumbangan yang diberikan menunjukkan bahawa agensi korporat sentiasa meletakkan pendidikan sebagai elemen paling utama dalam pembangunan modal insan serta keprihatinan bagi memastikan golongan asnaf dan B40 ini tidak ketinggalan dalam pembelajaran terutama dalam tempoh pandemik ini.


Majlis berbuka puasa bersama Naib Cancelor UMT


Pada majlis tersebut turut diadakan penyerahan sumbangan Bantuan Sukarelawan Asnaf kepada 70 orang pelajar UMT yang berjumlah RM250 setiap seorang hasil sumbangan daripada syarikat Perumahan Kinrara Berhad. Asnaf ini bertugas sebagai  sukarelawan bagi membantu program iftar yang dilaksanakan oleh UMT setiap hari sepanjang bulan Ramadhan.

Selain itu juga, penyerahan Bantuan Mangsa Banjir Pelajar kepada 85 orang Pelajar UMT dengan jumlah sumbangan sebanyak RM600 setiap seorang daripada syarikat Etiqa General Takaful Berhad juga diberikan. 

Pelajar-pelajar yang terlibat merupakan mangsa banjir daripada 3 negeri Pahang, Terengganu dan Selangor yang ditimpa musibah banjir besar baru-baru ini.



Sebagai menghargai rakan media UMT pihak universiti turut memberikan sumbangan dalam bentuk baucar berjumlah RM10,000 kepada rakan media di Terengganu mahupun Lembah Klang, yang terlibat secara langsung bersama-sama dalam usaha melonjakkan imej dan Citra UMT," ujarnya.

Katanya, dengan publisiti dan liputan meluas yang telah diberikan oleh rakan media, UMT kian gah menempa nama sebagai universiti peneraju dalam bidang sains marin dan sumber akuatik. 

"UMT sangat berbesar hati mendapat kerjasama padu daripada rakan media. Harapan saya, agar segala kerjasama dan bantuan yang diberikan oleh rakan media sekalian, akan berkekalan serta dapat diperkukuhkan lagi di masa hadapan,” tambahnya. - KitaReporters


Wakil Media Terengganu bergambar kenangan bersama Dr Mazlan

 

 

15
12
1
15
0
You will be interested