Kampus & Pendidikan 16 Dec, 2023

Tahniah! Graduan USIM Pemangkin Masyarakat Madani! Konvokesyen ke-21 rai 3,146 graduan, 39 program!

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada prousim@gmail.com

Share this


Seramai 3,146 graduan daripada 89 program pengajian diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kali ke-21 yang dijadualkan berlangsung pada 12 sehingga 15 Disember 2023.

Dengan tema “Graduan USIM Pemangkin Masyarakat Madani”, majlis yang penuh bermakna bagi graduan ini diraikan dengan penuh adat isitiadat dan disempurnakan oleh Tuanku Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud. 

Tuanku Canselor berkenan berangkat mencemar duli bagi mengisytiharkan majlis konvokesyen dan seterusnya menganugerahkan ijazah kepada para graduan pada sidang pertama.



Naib Canselor, Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani berkata, daripada 3,146 graduan tersebut, seramai 110 orang merupakan graduan Doktor Falsafah (PhD), 108 graduan Sarjana, 340 graduan Diploma Siswazah serta 2,588 lagi graduan program Sarjana Muda.

“Majlis konvokesyen kali ini bakal melakar sejarah tersendiri apabila USIM turut meraikan graduan sulung bagi lima program pengajian baharu. 

"Mereka adalah graduan Sarjana Muda Syariah (Industri Halal) dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Perdagangan (Kepujian), Sarjana Muda Bahasa Arab dan Kesusasteraan Islam dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa Arab dan Komunikasi dengan Kepujian dan Sarjana Muda Pengajian Qiraat dengan Kepujian.



“Pada majlis yang sama Tuanku Canselor turut berkenaan mengurniakan Ijazah Kehormat serta gelaran Profesor Emeritus dan Profesor Emerita serta anugerah-anugerah kecemerlangan akademik,” kata Dr. Sharifudin.

Ijazah Kehormat (Doktor Falsafah) dianugerahkan kepada Yousef Abdul Latif Jameel, iaitu pengasas Syarikat Abdul Latif Jameel Company, sebuah Syarikat pengedar kenderaan Toyota di Kerajaan Arab Saudi.

Menurut Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin lagi, turut menerima penganugerahan adalah tiga tokoh akademik USIM, iaitu Profesor Dato’ Dr. Mustafa Mohd Hanefah dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat (FEM) dan Profesor Dr. Abdul Samat Musa dari Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) bagi penganugerahan yang membawa gelaran Profesor Emeritus. 

Manakala bagi anugerah yang membawa gelaran Profesor Emerita dikurniakan kepada  Profesor Datin Dr. Che Illina Che Isahak dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK).



Majlis yang berlangsung selama empat hari melibatkan tujuh sidang ini turut menyaksikan pengurniaan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Aufa Abdullah, graduan daripada Fakulti Sains dan Teknologi (FST), pengkhususan dalam bidang Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat) dengan kepujian, serta Muhammad Isyraq Husaini Muliadi, graduan daripada Fakulti Syariah dan Undang-undang, pengkhususan dalam bidang Fiqh dan Fatwa dengan kepujian. 

Bagi Anugerah Canselor kategori Siswazah, penerimanya adalah Mohd Harifadilah Rosidi, graduan program Doktor Falsafah Syariah dan Kehakiman, Fakulti Syariah dan Undang-undang dan Nur Adilah Zainal, bagi program Sarjana Muda dalam bidang Perubatan dan Surgeri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan.

Manakala bagi penerima Anugerah Lembaga Pengarah Universiti, dianugerahkan kepada Muhammad Badrul Amin Mohd Tarmizi, graduan Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), Fakulti Sains dan Teknologi dan penerima Anugerah Pingat Emas Naib Canselor adalah Nadrah Ahmad Marzuki, graduan Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah dengan kepujian, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.



Pihak Universiti merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan tahniah kepada para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya. 

Kejayaan ini turut didedikasikan kepada ibu bapa, ahli keluarga, penjaga, para pentadbir dan pendidik serta seluruh warga USIM yang ikhlas memastikan para graduan menjadi insan berilmu, mengisi ruang dan pelusuk ketamadunan ummah supaya menjadi insan terbaik yang dibanggakan. - KitaReporters

10
13
0
7
0
You will be interested