
Kos sara hidup yang semakin meningkat dengan ketara sejak kebelakangan ini menyebabkan zahirnya kesedaran masyarakat untuk saling bantu membantu bagi meringankan beban yang wujud, apalagi sekiranya membabitkan pelajar sekolah mahupun universiti.
Sehubungan itu, inisiatif segera telah diambil oleh beberapa organisasi dan institusi pengajian tinggi bagi mengatasi masalah tersebut. Begitu juga dengan pelajar-pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang yang kurang berkemampuan.

Mereka sudah boleh menarik nafas lega apabila USM melancarkan inisiatif '100 bungkus nasi lemak percuma' setiap hari baru-baru ini.
Inisiatif ini bagi membantu pelajar kurang berkemampuan menghadapi kos sara hidup yang semakin mencabar ketika ini.
Sumbangan nasi lemak percuma 100 hari sebungkus akan diberikan pada setiap hari bekerja sehingga akhir Disember 2025 oleh Dato' Seri Yusof Taiyoob melalui Yusof Taiyoob Sdn Bhd.

Nasi lemak percuma setiap hari tersebut boleh didapati oleh para pelajar di rak FoodBank@HEPA, aras bawah, bangunan H20, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni mulai Jam 9 pagi hingga 4 petang.
Adalah difahamkan beliau juga merupakan penyumbang tetap program iftar dan moreh anjuran USM setiap tahun.
Walaupun jumlah 100 bungkus nasi lemak kelihatan sedikit, tetapi sekiranya dijumlahkan selama 6 bulan mulai Julai hingga Disember 2025, ia sudah pasti mencecah lebih 15,000 bungkus. - KitaReporters
