Kampus & Pendidikan 16 Jul, 2025

Azry Haikal buktikan! TVET bukan laluan kedua! Jadi landasan capai kejayaan, bentuk masa depan!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: awangani@gmail.com

Share this

Azry Haikal Arizal (kiri) menerima Anugerah Pengarah daripada Dr Mohd Zahari Ismail pada Majlis Konvokesyen Polimas ke-37 dan Konvokesyen Kolej Komuniti Kedah di Jitra, Kedah.


Azry Haikal Arizal, 22, graduan Diploma Seni Bina melakar kejayaan apabila dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pengarah sempena Istiadat Konvokesyen Kali Ke-37 Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) di Jitra, Kedah.

“Usaha tidak pernah mengkhianati hasil.” Itulah prinsip hidup pelajar dari Kangar, Perlis ini.

Beliau juga mencatat pencapaian cemerlang dalam akademik, malah turut menyerlah dalam pelbagai pertandingan dan aktiviti kemahiran sepanjang tiga tahun pengajiannya di POLIMAS.

Azry, anak sulung daripada empat adik-beradik menzahirkan rasa syukur atas pencapaian tersebut.

“Saya berterima kasih kepada Allah S.W.T atas segala nikmat ini. Saya sangat bangga dengan apa yang telah saya capai di POLIMAS dan ingin merakamkan penghargaan buat semua pensyarah dan rakan-rakan yang sentiasa memberi sokongan,” katanya selepas Majlis Konvokesyen POLIMAS di Jitra, Kedah pada 14 Julai 2025.

Kini, Azry sedang menimba pengalaman sebagai Technical Assistance (Pembantu Teknikal) di firma TGM Architect, Kangar dan beliau menyimpan hasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah di UiTM bagi mengejar cita-cita menjadi seorang arkitek.

Sepanjang pengajiannya di POLIMAS, Azry pernah menerima Anugerah Apresiasi TVET POLYCC Zon Utara 2024 (Kategori Pelajar), Johan Pertandingan BIM, tempat ketiga dalam PolySkills (kategori Digital Construction) dan menyertai prakelayakan World Skills, sekali gus meletakkan beliau sebagai antara ikon TVET yang wajar dicontohi.

Kejayaan Azry turut membanggakan keluarganya. Bapanya, Arizal Abdullah, seorang pegawai kesihatan berkata,“Saya amat bersyukur dan berbangga dengan pencapaian Azry. Ia hasil usaha gigih dan kesungguhan Azry.


Azry Haikal Arizal (tengah) diapit kedua-dua ibu dan bapanya selepas Majlis Konvokesyen POLIMAS di Jitra, Kedah pada 14 Julai 2025.


Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (PolyCC), Datuk Dr Mohd Zahari Ismail menegaskan komitmen PolyCC dalam melahirkan graduan yang berdaya saing dan berciri keusahawanan.

“Sebanyak 119 inkubator keusahawanan melibatkan 476 pelajar telah dibangunkan pada tahun 2024 dengan rekod jualan menghampiri RM800,000. Kadar kebolehpasaran graduan juga sangat membanggakan, mencecah 98.8%, hasil kerjasama dengan hampir 20,000 industri di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Pengarah POLIMAS, Rosli Idris menekankan bahawa tema konvokesyen tahun ini, “TVET PolyCC Aspirasi Madani”, menyokong misi untuk membentuk graduan yang bukan sahaja celik teknologi, tetapi juga berjiwa rakyat dan bersikap profesional.

“TVET hari ini bukan lagi laluan kedua, sebaliknya adalah landasan utama dalam membentuk masa depan. Graduan POLIMAS seperti Azry Haikal adalah bukti bahawa TVET mampu melahirkan insan holistik dan mampu menyumbang secara aktif kepada negara,” katanya.

Kejayaan Azry Haikal merupakan simbol bahawa TVET bukan sekadar pendidikan teknikal, tetapi jalan menuju impian yang gemilang. Cerita beliau membuka mata masyarakat bahawa setiap pelajar mampu berjaya, asalkan tidak pernah berhenti berusaha.

 

 

19
18
0
27
0
You will be interested