Kampus & Pendidikan 18 Jul, 2025

Terbaiklah USM! Menu Rahmah, bantuan bersasar! Tangani kesan SST terhadap kos sara hidup pelajar!

@ani bin awang
Bekas wartawan Utusan Malaysia dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Emel: awangani@gmail.com

Share this

Kakitangan USM menunjukkan makanan di bawah Menu Rahmah yang disediakan bagi mengurangkan kos sara hidup pelajar B40.

Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang telah mengenal pasti beberapa langkah segera dan proaktif bagi menangani kesan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) terhadap kos sara hidup pelajar dalam kalangan pelajar B40.

Antara langkah segera yang dilaksanakan termasuk memperluas penyediaan Menu Rahmah di semua kafeteria desasiswa, bagi memastikan pelajar dapat menikmati hidangan berkualiti pada harga yang berpatutan.

Naib Canselor USM, Profesor Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed berkata, inisiatif ini diyakini mampu memberi kelegaan kepada pelajar, terutamanya yang kurang berkemampuan.


Kakitangan USM sedang membincangkan langkah untuk tangani kos sara hidup pelajar B40 di USM.

“Satu Jawatankuasa ‘Task Force’ yang dipengerusikan oleh Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Dr. Azlan Amran telah ditubuhkan bagi mengenal pasti inisiatif jangka pendek dan panjang bagi membantu pelajar yang terkesan dengan peningkatan kos sara hidup.

“Bagi pelajar yang memerlukan bantuan kecemasan, mereka boleh menghubungi Unit Kebajikan dan OKU, BHEPA. Selain itu, USM turut menyalurkan sumbangan kepada pelajar yang memerlukan menerusi peruntukan khas yang disediakan,” katanya dalam kenyataan pada 10 Julai 2025.

Abdul Rahman menjelaskan, bantuan secara bersasar kepada pelajar daripada kategori B40 akan diteruskan bagi memastikan mereka tidak terkesan secara langsung dengan kenaikan kos semasa.

Selain itu beliau menegaskan, dalam pada masa yang sama perkhidmatan Food Bank USM (Bank Makanan USM) terus ditambah baik dan diperluas dengan menyediakan makanan asas lain yang menjadi barang keperluan harian bagi membantu pelajar yang mengalami kekangan kewangan.

“USM juga giat mendapatkan sokongan dan sumbangan daripada pihak luar, khususnya syarikat korporat bagi meringankan beban yang ditanggung pelajar.

“Antaranya, Syarikat Yusuf Taiyoob Sdn. Bhd. juga telah bersetuju menyumbangkan nasi lemak setiap hari kepada pelajar bagi memastikan mereka ke kuliah dalam keadaan yang tidak berkelaparan,” ujar beliau.


Sebahagian sumbangan korporat bagi tangani kos sara hidup pelajar B40 di USM

Dalam pada itu, Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar dan Alumni dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), turut menjalankan kajian bagi mengenal pasti perkhidmatan dan barangan keperluan yang memberi kesan langsung kepada pelajar.

Ia termasuk harga makanan, perkhidmatan cetakan dan fotostat, tambang e-hailing serta perbelanjaan harian yang lain.

Hasil tinjauan ini akan membantu pihak universiti merangka langkah-langkah yang lebih bersesuaian dan merangka semula pelan tindakan jangka panjang yang menyeluruh.

USM juga telah mengingatkan pengusaha kafeteria agar tidak menaikkan harga jualan, memandangkan mereka masih terikat dengan syarat kontrak asal sebelum pelaksanaan SST.

Fokus turut diberikan kepada pelajar luar kampus (PETAS), agar mereka turut menerima manfaat daripada inisiatif yang dilaksanakan.

Dalam jangka panjang, pihak universiti sedang menilai semula kadar sewa premis perniagaan di kampus agar tidak membebankan peniaga, sekali gus mengelakkan kenaikan harga makanan yang dijual di kafeteria.

Segala usaha ini mencerminkan komitmen berterusan USM dalam memastikan kebajikan pelajar sentiasa diberi keutamaan, khususnya dalam menghadapi cabaran ekonomi semasa. - KitaReporters

11
9
0
7
0
You will be interested