Kampus & Pendidikan 18 Jul, 2025

Syabas Alumni UMT! Kebajikan asnaf, B40 dan alumni muda diangkat! Melalui projek Rumah Wakaf UMT!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:anakperlis65@gmail.com

Share this

Mohd Zuki Ali melancarkan prapeluncuran majalah Sauh.

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus memperkukuh peranan sosial dan kebajikannya apabila melancarkan projek khas Wakaf Ilmu: Rumah Pendidikan dan Kebajikan Alumni UMT dalam satu majlis penuh bersejarah, UMT Grand Alumni Homecoming 2025: Golden Threads of Yesterday, yang menghimpunkan lebih 300 alumni dari seluruh negara.

Rumah Wakaf Alumni yang bakal dibina di Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus ini akan memberi manfaat kepada pelajar kategori asnaf dan B40, alumni muda yang masih mencari pekerjaan, serta kakitangan atau pelawat universiti yang memerlukan penginapan sementara.

Projek yang dianggarkan bernilai RM500,000 ini merupakan simbol sumbangan ikhlas alumni UMT terhadap kebajikan dan kelangsungan pendidikan generasi pelapis.


Pertukaran surat niat antara HEPA UMT dan UMT SEA.

Pro Canselor UMT, Tan Sri Mohd Zuki Ali yang hadir merasmikan majlis menyatakan bahawa kekuatan sesebuah institusi bukan sekadar pada binaan fizikalnya, tetapi pada hubungan kukuh dan kasih sayang antara warganya.

“Inisiatif Rumah Wakaf Alumni ini mencerminkan nilai murni dan semangat kebersamaan tinggi dalam kalangan alumni. Ia bukan sahaja menyantuni golongan memerlukan, malah mengukuhkan identiti dan jati diri UMT sebagai universiti berjiwa rakyat,” ujar beliau pada majlis itu.

Majlis anjuran Pusat Alumni UMT itu turut menyaksikan pelancaran awal majalah sulung alumni, Sauh, sebagai medium penghargaan dan penghubung sesama alumni pelbagai generasi selain daripada pertukaran surat niat antara Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) dan UMT SEA Sdn. Bhd.

Kerjasama ini membolehkan promosi kursus-kursus profesional UMT SEA dijalankan menerusi rangkaian alumni, dengan tawaran diskaun RM1,000 kepada alumni yang mendaftar.


Penghargaan anugerah jasa bakti kepada Pengarah Urusan, Ilman Holding Sdn. Bhd Ahmad Zahin Ilman Othman (enam dari kiri) oleh Mohd Zuki.


Majlis ini turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh alumni yang mencetuskan suasana penuh nostalgia, sejajar dengan tema majlis iaitu Golden Threads of Yesterday.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti, Prof. Dr. Mohamad Salmi Sohod; Naib Canselor, Prof. Ir. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim; serta Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain bersama barisan pengurusan universiti. - KitaReporters


Gambar kenangan bersama semua yang hadir.

 

16
13
0
8
0
You will be interested