Kampus & Pendidikan 06 Dec, 2023

Tahniah! Datuk 13 orang cucu genggam ijazah PhD! Bapa dan anak sama-sama bergraduat dan dapat PhD!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: kita.reporters@gmail.com atau editor.kitareporters@gmail.com

Share this


Sejak tahun 1977, Dr Md Damiri Md Sairi, 70, yang merupakan datuk kepada 13 orang cucu sudah mula menanam keinginan untuk memperoleh Doktor Falsafah (PhD).

Impiannya itu mula dilaksanakan pada 2016 dengan menyambung pelajaran PhD dalam bidang pengajian tanah dan hutan di Fakulti Perhutanan Dan Alam Sekitar (FHAS), Universiti Putra Malaysia (UPM).

“Saya merupakan seorang pesara daripada Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Perak. Oleh itu, minat saya masih mendalam pada bidang ini dan banyak perkara yang ingin saya terokai.

“Saya memegang prinsip bahawa kita belajar tidak akan pernah habis seperti lautan yang sangat besar kerana semakin banyak kita belajar rupanya banyak perkara yang kita tidak tahu.

“Jika di luar negara ramai golongan warga emas yang masih melanjutkan pelajaran tetapi di Malaysia kita rasa macam pelik apabila sudah pencen masih sambung belajar. Pembelajaran sebenarnya sepanjang hayat,” katanya.



Bapa kepada lima orang ini memegang prinsip bahawa disiplin yang tinggi merupakan asas kepada kejayaan seseorang dalam meraih PhD.

“Saya juga memang hampir putus asa ketika COVID-19 melanda negara kerana pada ketika itu saya juga merupakan pengerusi masjid di Rapat Setia Baru, Ipoh yang memerlukan banyak peraturan perlu dipatuhi selain anak-anak juga semua di Kuala Lumpur.

“Namun, atas disiplin yang tinggi saya teruskan juga selain sokongan isteri dan anak-anak tercinta. Hari ini saya berjaya dan sangat bersyukur atas rezeki dan peluang ini,” luahnya.

Menariknya, beliau turut berkongsi detik bersejarah bersama anaknya, Dr Mohamad Hazrol Md Damiri, 30, yang juga bergraduat pada sesi yang sama.

“Saya sangat bangga hari ini dapat bergraduat bersama anak saya yang juga memperoleh PhD dan tidak sangka pada sesi yang sama. "Tahun hadapan jika tiada aral melintang anak sulung saya pula akan meraih PhD,” katanya.

Sementara itu, Dr. Hazrol berkata ayahnya menjadi sumber inspirasinya untuk menggenggam PhD.​

“Jika ayah saya yang berusia 70 tahun boleh lakukannya, maka saya juga boleh. Saya memang tunggu ayah saya viva dan dalam masa yang sama saya juga meletakkan target untuk viva pada tahun ini juga.



“Syukur saya dapat graduat tepat pada masanya atau GOT (graduate on time) iaitu selama tujuh semester sahaja. 

"Saya pernah menerima beberapa anugerah ketika pengajian PhD iaitu Best Paper Award dan pembentang terbaik pada 7th Postgraduate Seminar on Natural Fiber Reinforced Polymer Composites, 2020,” katanya lagi.

Sebagai seorang Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) di Hospital Kuala Lumpur, beliau berkata dalam mengejar PhD sememangnya mempunyai pelbagai liku-liku cabaran yang perlu dihadapi dan beliau akan meneruskan impian untuk menjadi seorang ketua setiausaha negara. - KitaReporters/Kenyataan Media

13
11
0
11
0
You will be interested