SERAMAI 127 jurulatih Pusat Kokurikulum Universiti Utara Malaysia (UUM) menghadiri bengkel pemantapan jurulatih bagi sesi Oktober 2022/2023 pada 15 Oktober 2022 di Auditorium School of International Studies (SOIS), universiti ini.
Pengarah Pusat Kokurikulum UUM, Dr. Mohamad Zaki Ahmad dalam ucapan perasmian bengkel itu berharap kesemua tenaga pengajar ini dapat memainkan peranan mereka bersama 10,651 pelajar bagi sesi ini.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan berita dan aktiviti kampus UUM
Katanya setelah dua tahun pengajaran dijalankan secara dalam talian, kini kesemua 67 subunit atau 263 kelas dijalankan secara bersemuka.
“Bukan sahaja pelajar yang merindui pengajaran secara bersemuka ini malah tenaga pengajar dan warga pusat ini juga teruja dengan kehadiran mereka memenuhi kelas dan pejabat pentadbiran kita,” ujarnya ketika ditemui.
Dalam pada itu Timbalan Pengarah Bahagian Akademik Prof. Madya Dr. Nik Ab. Halim Nik Abdullah turut memberi taklimat sebelum sesi pengajian secara bersemuka itu diadakan.
“Kita berharap semua tenaga pengajar dan pelajar akan menyerikan semula aktiviti dan sesi pengajian untuk semester ini,” ujarnya lagi.
Manakala Timbalan Pengarah, Bahagian Aktiviti Ts. Dr. Fazillah Mohmad Kamal berharap sesi pengajian kali ini dapat dijalankan secara teratur dan tersusun seperti sebelum pandemik COVID-19.
Bagi Pengerusi kelas kewartawanan 3B, Mohd Asif Haafiz Abd Hasan, 20, pelajar Sarjana Muda Undang-undang, pengajian dalam kelas ini lebih menyeronokkan kerana dapat mengikuti kuliah secara bersemuka dan bertanya secara terus mengenai subjek yang dipelajari.
“Perbincangan mengenai tugasan dan aktiviti kelas juga dilihat lebih menyeronokkan,” sambungnya lagi. - KitaReporters/USIM