Kampus & Pendidikan 26 Sep, 2024

Kerjasama penyelidikan teknologi dalam pertanian pintar! MoU Mardi dan Universiti Geomatika Malaysia!

@editor 2
Semua kenyataan media atau media releases boleh dihantar kepada Editor KitaReporters. Sila sertakan juga gambar iringan untuk siaran. Emel: [email protected] atau [email protected]

Share this


Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Universiti Geomatika Malaysia (UGM) telah memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) sempena Pameran Pertanian, Hortikultur dan AgroPelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Laman Jentera MAHA 2024, Serdang, Selangor. 

Memorandum ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama strategik antara kedua-dua pihak dalam bidang penyelidikan teknologi dalam pertanian pintar dengan memanfaatkan penggunaan aplikasi geomatik, penderiaan jauh, sistem maklumat geografi (GIS) dan teknologi dron.

Kerjasama ini dijangka akan membuka jalan untuk pelaksanaan kerjasama penyelidikan dalam bidang bioteknologi, nanoteknologi, sains makanan dan teknologi makanan yang menjadi salah satu keutamaan MARDI dalam menyokong aspek keterjaminan dan keselamatan makanan negara.


Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani (dua dari kanan) dan Prof Mazrin Rohizaq Che Rose (dua dari kiri) bertukar MoU sambil diperhatikan oleh Prof Ar. Dr. Elias Saleh (kiri) dan Dr Ahmad Safuan Bujang.


Selain itu, memorandum ini juga akan membuka ruang yang lebih luas kepada kedua-dua belah pihak untuk menggunakan sumber dan kemudahan-kemudahan penyelidikan seperti makmal, instrumentasi dan plot penyelidikan bagi memberi latihan, kemahiran dan peluang merasai sendiri kerja di lapangan kepada pelajar-pelajar UGM.  

Akhir sekali menerusi kerjasama ini, MARDI dan UGM juga bersetuju untuk mengadakan lebih banyak latihan pelajar, kursus jangka pendek, sangkutan kerja dan penyelidikan akademik bagi membantu melahirkan sumber manusia dan tenaga kerja dalam bidang penyelidikan dan teknologi pertanian.

Majlis Pertukaran MoU disempurnakan oleh Ketua Pengarah MARDI Dato’ Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani dan Timbalan Presiden II UGM, Prof. Datuk Mazrin Rohizaq Che Rose.  

Hadir sama dalam majlis berkenaan Naib Canselor UGM Prof. Emeritus Dato’ Ar. Dr. Elias Saleh dan Dr Ahmad Safuan Bujang, Pengarah Pusat Penyelidikan Kejuruteraan MARDI. - KitaReporters/Kenyataan Media

17
21
0
14
0
You will be interested