Sungai Bernam menjadi pemisah sempadan negeri Perak dan Selangor.
UNIVERSITI Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui Persatuan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan telah menganjurkan program melepaskan anak ikan ke Sungai Bernam, sungai yang menjadi pemisah di antara Perak dan Selangor.
Sebanyak 3,000 benih ikan lampan dilepaskan sewaktu program diadakan pada 16 Disember 2021 lalu yang bertujuan membantu pembiakan hidupan marin dalam ekosistem itu sekali gus menjadi punca ekonomi serta sumber makanan masyarakat setempat.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan UPSI
Menurut Timbalan Naib Canselor UPSI, Profesor Madya Dr Norkhalid Salimin, Sungai Bernam bukan sahaja sempadan pemisah dua negeri yang menjadi nadi kepada penduduk Tanjung Malim, Perak dan Lembah Bernam, Selangor tetapi mempunyai kepentingan sejarah sebagai laluan pedagang suatu ketika dahulu.
“Sebagai sebuah universiti yang telah melalui perjalanan sejarah yang panjang semenjak zaman prakemerdekaan sekitar tahun 1922, kedudukan Sungai Bernam terletak bersebelahan dengan Kampus Sultan Abdul Jalil telah lama diangkat sebagai sebahagian daripada UPSI sendiri.
“Pihak UPSI saban tahun pasti akan mengadakan sekurang-kurangnya satu aktiviti berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan sungai seperti mengutip sampah di sekitar kawasan dalam sungai serta memupuk kesedaran menjaga kebersihan sungai.
"Menjadi tanggungjawab korporat universiti menyahut aspirasi penarafan antarabangsa UI Green Metric World University Ranking untuk melestarikan kampus hijau dan pengurangan karbon,” jelasnya ketika berucap di majlis perasmian.
Untuk rekod, UPSI telah melonjak penarafan
kedudukan kampus hijau kepada kedudukan 176 dari kedudukan 203 pada tahun 2020.
Pelajar-pelajar Persatuan Geografi dan Alam Sekitar, Fakulti Sains Kemanusiaan.
Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Kemanusiaan, Profesor Madya Dr Mohd Hairy Ibrahim berkata aktiviti melepaskan anak-anak ikan ke dalam Sungai Bernam membantu pembiakan hidupan marin itu dalam ekosistem.
"Usaha ini secara tidak langsung menjadi punca ekonomi atau sumber makanan kepada masyarakat setempat selain menarik tumpuan pemancing.
“Saban hari sekitar kawasan sungai
serta jambatan hubungan antara Ulu Bernam dan Tanjung Malim menjadi
tumpuan para pemancing tempatan dan luar kawasan untuk memancing.
“Pihak universiti turut menyantuni sendiri
pemancing-pemancing ikan bagi mendapatkan maklumat jenis ikan. Jadi, anak-anak ikan dilepaskan merupakan spesies jenis lampam yang sememangnya sesuai dalam
ekosistem Sungai Bernam,” ujarnya.-KitaReporters
Aktiviti melepaskan anak-anak ikan ke dalam Sungai Bernam membantu pembiakan hidupan marin.