Kampus & Pendidikan 24 Mar, 2023

SMK Belawai di Sarawak rai Muhammad Aizuddin Harif! Pemenang Anugerah Kepimpinan Kebudayaan KPT!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi.

Share this

Pemenang Anugerah Kepimpinan Kebudayaan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) 2022 dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Aizuddin Harif.

Pemenang Anugerah Kepimpinan Kebudayaan bagi Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2022 dari Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Aizuddin Harif telah diraikan oleh warga Sekolah Menengah Kebangsaan Belawai, Sarawak pada 23 Mac 2023 lalu.

Pengetuanya Shariff Umar berkata, kemenangan ini bukan sahaja milik Muhammad Aizuddin dan UniSZA malah seluruh warga SMK Belawai.

“Guru kami yang berbakat besar ini pastinya akan memberi impak positif ke arah melahirkan pelajar yang hebat macam Muhammad Aizuddin sekali gus meletakkan nama sekolah dari Daerah Daro ini pada peringkat negeri atau kebangsaan nanti,” katanya lagi.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan Anugerah Tokoh Siswa KPT

Muhammad Aizuddin Harif diraikan oleh warga Sekolah Menengah Kebangsaan Belawai, Sarawak pada 23 Mac 2023 lalu.

Ahmad Othman

Manakala Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior (SMKPN) Ahmad Othman ketika dihubungi turut berbangga dengan pencapaian bekas pelajar sekolah ini yang menamatkan pengajian pada tahun 2014 itu sebelum melanjutkan pengajian ke UniSZA.

“Ketrampilan dan kebolehan pelajar-pelajar sekolah ini sentiasa membanggakan kami warga SMKPN,” ujarnya ketika dihubungi. 

Cikgu Ahmad berharap Muhammad Aizuddin  dan Alumni-alumni SMKPN yang berjaya sudilah kiranya dapat berkongsi kejayaan mereka dengan pelajar-pelajar sekolah ini nanti dalam sesi ceramah atau mana-mana aktiviti pada peringkat sekolah ini nanti.

Anak kedua daripada empat orang beradik yang dilahirkan di Hospital Besar Alor Setar, Kedah ini mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Jitra (SKJ) sebelum melanjutkan pengajian di SMKPN dan seterusnya ke UniSZA.

Antara jawatan yang disandang ketika pada peringkat sekolah ialah Ketua Kelas, Pengawas Perpustakaan, pengawas sekolah dan juga mempengerusikan beberapa kelab sepanjang tempoh pengajiannya disekolah itu.

Manakala penyertaan dalam bidang kokurikulum juga tidak menghampakan bila terpilih mewakili sekolah, daerah dan negeri antaranya pertandingan drama Bahasa Inggeris, Choral Speaking, Public Speaking, Debat Bahasa Melayu, Pantun dan Pertandingan Deklamasi Puisi.

Penerima Anugerah Permata Gemilang bagi tahun 2012 dalam bidang Kokurikulum dan Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2014 di SMKPN ini telah meneruskan pengajian pada tahun 2015 pada peringkat Diploma di UniSZA dalam jurusan Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua (TESL) dengan Kepujian dan seterusnya pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda juga di UniSZA dalam jurusan Bahasa Inggeris dengan Komunikasi dengan Kepujian.


Muhammad Aizuddin ketika menerima Anugerah Pelajaran DiRaja 2022 sempena Konvokesyen UniSZA Kali ke-13.


Sepanjang tempoh pengajiannya beliau telah berjaya merangkul Anugerah Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi pada setiap semester.

Manakala penglibatannya dalam aktiviti akademik serta kokurikulum pada peringkat fakulti, universiti, kebangsaan dan antarabangsa membolehkannya menerajui Kelab Citra Puisi (KeRiSZ) UniSZA sebagai Presiden selama dua penggal berturut- turut serta dilantik selaku Setiausaha bagi Persatuan Mahasiswa Seni dan Budaya di bawah Pusat Kesenian dan Warisan UniSZA.

Bakat kepimpinannya makin terserlah dan diberi kepercayaan serta penghargaan dengan pelantikan beliau sebagai Duta MyDNA KPT dan dianugerahkan Anugerahkan Tokoh Kepimpinan Kebudayaan pada tahun 2020.

Antara anugerah lain yang dimenanginya termasuk Anugerah Gambang Mustika (Kategori Pengurusan Kelab Kebudayaan dan Kategori Bakat Kebudayaan) dari Majlis Kesenian Universiti Malaysia (MAKUM) sebanyak dua kali berturut- turut iaitu pada sesi 2019/2020 dan sesi 2020/2021.

Selain itu, beliau juga mewakili UniSZA dalam pelbagai Pertandingan Pantun pada peringkat Pantai Timur, kebangsaan dan juga antarabangsa.

Pemenang bagi Sayembara Pantun Piala Nusantara Peringkat Antarabangsa ini juga  turut menerbitkan dua buah buku digital Puisi dan Pantun iaitu ‘Antalogi Lasykar Puisi Alam Melayu’ dan ‘Kompilasi Harta Intelek Warisan Pantun Tiga Serumpun’.

Ketika sedang berkhidmat di SMK Belawai ini, penerima Anugerah Pelajaran Diraja 2022 sempena Konvokesyen UniSZA Kali ke-13 Muhammad Aizuddin menerima kejutan apabila diumumkan sebagai Pemenang Anugerah Kepimpinan Kebudayaan KPT 2022 pada Anugerah Tokoh Siswa (ATS) KPT 2022.

Moga guru ini terus cemerlang dan dapat melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang nanti. - KItaReporters


Muhammad Aizuddin Harif bersama warga UniSZA pada majlis Anugerah Tokoh Siswa (ATS) 2022.

14
13
0
8
0
You will be interested