Kampus & Pendidikan 06 Jan, 2026

Raih perhatian diraja! Projek kelulut Madrasah Tahfiz Taufiqillah! Usaha jana pendapatan sendiri!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Pendekatan pendidikan berteraskan kelestarian ekonomi yang diterapkan oleh Madrasah Tahfiz Taufiqillah menerusi projek ternakan kelulut berjaya menarik perhatian Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, apabila baginda berkenan berangkat meninjau ladang ternakan berkenaan di Kampung Lembah Arang, Wang Tepus, Jitra pada 3 Januari 2025.


Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengikuti penerangan mengenai ternakan kelulut yang diusahakan Madrasah Tahfiz Taufiqillah di Jitra, Kedah. 


Keberangkatan baginda disambut oleh Pengetua Madrasah Tahfiz Taufiqillah, Datuk Seri Auzaid Ismail, sebelum diberikan taklimat mengenai perkembangan projek yang telah diusahakan sejak 2015 itu. 

Sempena lawatan berkenaan, baginda turut berkenan mencuba madu kelulut asli yang dihasilkan oleh pelajar tahfiz institusi berkenaan.

Auzaid berkata, projek ternakan kelulut diwujudkan sebagai usaha menjana pendapatan sendiri bagi membantu menampung sebahagian kos operasi madrasah, di samping menjadi platform pembelajaran keusahawanan dan kemahiran praktikal kepada pelajar.

Menurut beliau, walaupun yuran pengajian dikenakan, kebanyakan pelajar yang mengikuti pengajian di madrasah itu datang daripada golongan asnaf dan tidak pernah dipaksa membayar sekiranya tidak berkemampuan.

“Keadaan itu mendorong kami mencari kaedah yang lebih mampan untuk memastikan kelangsungan operasi madrasah. Projek kelulut ini menjadi antara ikhtiar utama, selain sumbangan infak daripada masyarakat,” katanya.


Raja Muda Perlis berkenan menyempurnakan simbolik pelancaran produk hasil Madrasah Tahfiz Taufiqillah.

Jelasnya, modal awal bagi memulakan projek ternakan kelulut berkenaan diperoleh melalui bantuan badan zakat, sebelum dikembangkan secara berperingkat-peringkat dengan penglibatan aktif para pelajar.

Tambah beliau, penglibatan pelajar dalam projek tersebut memberi pendedahan menyeluruh berkaitan pengurusan penternakan kelulut, termasuk teknik penjagaan koloni, kaedah penuaian madu serta asas pembangunan produk berasaskan sumber semula jadi.

“Melalui aktiviti ini, pelajar bukan sahaja mendalami ilmu agama, malah didedahkan dengan kemahiran keusahawanan yang boleh menjadi nilai tambah dalam kehidupan mereka selepas tamat pengajian,” katanya.



Detik mesra pelajar tahfiz bersama Tuanku.

Setakat ini, lebih 200 sarang kelulut diusahakan oleh madrasah berkenaan dengan pengeluaran madu dianggarkan antara 200 hingga 300 kilogram setahun. 

Produk madu kelulut asli itu dipasarkan pada harga RM180 sekilogram atau RM30 bagi pek seberat 120 gram.

Selain pengeluaran madu kelulut, madrasah yang menempatkan lebih 60 pelajar dengan sokongan lima tenaga pengajar itu turut merancang untuk meneroka perusahaan baharu seperti penghasilan baja tanaman sebagai sumber pendapatan tambahan, sekali gus memperkukuh kelangsungan institusi pendidikan tahfiz tersebut pada masa hadapan. - KitaReporters


Wajah ceria pelajar tahfiz merakam detik bermakna bersama Tuanku di Madrasah Tahfiz Taufiqillah, Jitra.

12
11
0
16
0
You will be interested