Kampus & Pendidikan 09 Oct, 2025

Inovasi luar biasa! Keropok lekor daripada jantung pisang! Hasil idea Sugunah bersama alumni UPM!

@ahmad syahir kassim
Dulu wartawan kini moJo. Boleh emel ke [email protected]

Share this
Di sebalik keunikan makanan tradisi yang digemari ramai, S Sugunah bersama alumni Fakulti Sains dan Teknologi, Jabatan Sains Makanan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tampil dengan idea luar biasa.

Vekor mudah dimasak – sama ada digoreng, dibakar, dipanggang atau menggunakan 'air fryer'.
Kumpulan mahasiswa yang sangat berminat dengan dunia pemakanan sihat itu berjaya membawa satu resipi keropok lekor berasaskan tumbuhan hasil ciptaan pensyarah dan pelajar senior untuk bersaing pada pertandingan inovasi makanan peringkat antarabangsa.
Jika sebelum ini keropok lekor sinonim dengan isi ikan, namun ia diganti dengan jantung pisang – bahan semula jadi yang sering dipandang sebelah mata.
Inovasi yang diberi nama Vekor atau Vegan Lekor (Banana Flower Keropok Lekor) hasil gabungan tradisi dan sains pemakanan moden itu memacu Sugunah untuk dinobatkan sebagai Tokoh Daya Usaha Inovasi Siswa 2025 di Putrajaya pada Rabu, 1 Oktober 2025.
Sugunah dinobatkan sebagai Tokoh Daya Usaha Inovasi Siswa 2025. - Kredit foto: FB KPT.

Sugunah berkata, ilham berkenaan tercetus selepas melihat ramai rakannya yang 'vegan' tidak dapat merasai keropok lekor yang popular sebagai makanan dari Pantai Timur itu.

Selain itu, beliau juga menyedari wujud golongan yang menghadapi alahan terhadap ikan, tetapi masih mahu menikmati makanan tersebut.

"Jantung pisang dipilih kerana teksturnya yang berserat, hampir menyamai isi ikan dari segi gigitan dan rasa kunyahan.

"Lebih menarik, bunga pisang ini kaya dengan nutrien – tinggi serat, vitamin dan mineral, serta mempunyai potensi sebagai makanan pencegah penyakit.

"Dengan kandungan lemak yang rendah dan sifar kolesterol, keropok lekor versi baharu ini sesuai untuk mereka yang menjaga kesihatan jantung dan berat badan," katanya ketika ditemui selepas majlis Anugerah Tokoh Siswa Negara (ATSN) 2025.

Majlis berprestij itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir.


Sugunah menghasilkan keropok lekor dari jantung pisang. - Kredit foto FB KPT.

Sugunah yang kini bertugas sebagai Teknologis Kualiti di sebuah syarikat multinasional di Shah Alam merupakan salah seorang pemenang daripada 11 kategori ATSN 2025.

Beliau menjelaskan bahawa Vekor turut mesra gluten kerana menggunakan pengikat daripada konjac dan sagu, menjadikannya lebih inklusif untuk pelbagai diet.

Tambahnya, dari sudut kelestarian, ciptaan tersebut juga mengurangkan kebergantungan kepada sumber laut, sekali gus menyokong usaha melindungi ekosistem marin.

“Saya mahu orang ramai tahu bahawa makanan tradisional boleh terus dinikmati tanpa menjejaskan kesihatan atau alam sekitar.

“Vekor mudah dimasak – sama ada digoreng, dibakar, dipanggang atau menggunakan 'air fryer',” ujar Sugunah.

Walaupun masih pada peringkat awal, inovasi tersebut sudah menarik perhatian rakan-rakan kampus, terutama mereka yang mengamalkan gaya hidup vegetarian dan fleksitarian.

Malah Sugunah berharap Vekor dapat dipasarkan secara meluas, bukan sahaja sebagai alternatif sihat, tetapi juga sebagai simbol inovasi makanan tradisi Malaysia yang menawan selera dunia.


Dr Zambry Abd Kadir (tengah) berbual dengan para pemenang pada majlis ATSN di Putrajaya pada Rabu, 1 Oktober 2025. - Kredit foto: FB KPT.

Kemuncak acara ATSN yang memasuki edisi kesembilan sejak diperkenal pada tahun 2013 menyaksikan penuntut Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Ng Zhen Fan Shankar dinobatkan sebagai Tokoh Siswa Negara 2025.

Sebanyak 11 kategori individu dipertandingkan dalam ATSN, antaranya kepimpinan, seni warisan, keusahawanan, sukan rekreasi, bicara siswa, kesukarelawan, khidmat komuniti, inklusif, perpaduan dan kelestarian siswa.

Selain itu, terdapat Anugerah Sinergi Kepimpinan (kategori berkumpulan), empat Anugerah Penghargaan Khas serta anugerah utama iaitu Tokoh Siswa Negara.

Pemenang ATSN menerima trofi eksklusif, sijil pengiktirafan, wang tunai RM1,000 hingga RM5,000, geran mobiliti akademik RM2,000 serta tawaran biasiswa. - KitaReporters.

7
9
0
10
0
You will be interested