Kampus & Pendidikan 16 Dec, 2025

Keselamatan Online| Engage-Educate-Empower! Cybersafe elak pesara, warga emas jadi mangsa scammer!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Universiti Malaysia Terengganu (UMT) terus komited melaksanakan tanggungjawab sosial (SR) universiti melalui penganjuran Program Cybersafe yang memberi fokus kepada komuniti setempat khususnya penjawat awam, pesara dan warga emas yang dikenal pasti sebagai antara kumpulan berisiko tinggi menjadi mangsa penipuan siber.



Program itu dilaksanakan berasaskan modul berstruktur menggunakan pendekatan Engage-Educate-Empower atau E3 yang menekankan penglibatan aktif komuniti, pendidikan keselamatan digital serta usaha memperkasa masyarakat melalui latihan praktikal dan sokongan berterusan. 

Pendekatan ini dilihat selari dengan keperluan semasa memandangkan taktik penipuan siber kini semakin kompleks dan berevolusi seiring perkembangan teknologi digital.

Menurut Dekan Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM), Prof. Ts. Dr. Muhammad Suzuri Hitam, isu keselamatan digital kini memerlukan perhatian serius semua pihak.

“Usaha memperkasa literasi siber bukan sekadar penganjuran program, tetapi satu amanah sosial untuk melindungi masyarakat.

"Dengan peningkatan kes penipuan dalam talian, kecurian data dan eksploitasi digital, pendidikan berterusan adalah kunci membina komuniti yang lebih berdaya tahan,” katanya.


Sesi pendedahan terperinci berkaitan modus operandi yang digunakan oleh scammer untuk mencuri data peribadi serta wang mangsa.


Sementara itu, seorang peserta program yang juga pesara, Zahara Kedri menyifatkan inisiatif seumpama itu wajar diperluas bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan warga emas dan pesara agar lebih peka serta berwaspada terhadap pelbagai taktik penipuan yang digunakan oleh ‘scammer’.

Beliau berkata, pendedahan secara langsung melalui perkongsian kes, simulasi dan latihan praktikal amat membantu golongan pesara memahami risiko sebenar dunia digital serta langkah-langkah asas untuk melindungi diri dan maklumat peribadi.

Seiring dengan penganjuran program itu, UMT turut mengambil peluang untuk merancakkan aktiviti penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam bidang keselamatan siber, khususnya berkaitan kecurian data dan perlindungan maklumat. 

Usaha itu akan diperkukuh melalui penawaran program pengajian Keselamatan Komputeran Awan dalam masa terdekat sebagai langkah strategik melahirkan lebih ramai pakar tempatan dalam bidang keselamatan digital.

Penganjuran Cybersafe juga membuktikan keprihatinan UMT terhadap peningkatan trend jenayah siber seperti penipuan dalam talian, kecurian data peribadi dan eksploitasi digital yang bukan sahaja melibatkan kerugian kewangan, malah memberi kesan psikologi kepada mangsa terutama golongan warga emas.

Inisiatif itu diharap dapat memberi impak berterusan kepada masyarakat serta menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih celik digital, berdaya tahan dan selamat dalam menghadapi ancaman siber masa kini. - KitaReporters/UMT


Sebahagian peserta yang mengambil peluang mengikuti program kesedaran keselamatan

siber anjuran UMT dengan Kerjasama PDRM

13
10
0
10
0
You will be interested