SULTAN Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Majlis Peletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI) UPSI dan Pusat Komuniti dan Residensi UPSI atau UPSI Residential and Community Centre (URCC) di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.
Baginda menandatangani peletakan batu asas berkenaan di
Dewan Tuanku Canselor, Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, pada 24 April 2024.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff dalam ucapan aluannya, berkata IPTTI ditubuhkan bagi menjunjung hasrat Duli-Duli Tuanku yang cakna terhadap perkembangan dasar serta transformasi pendidikan tahfiz dan turath (kitab kuning) Islami yang selaras dengan perkembangan terkini.
Sultan Nazrin menandatangani peletakan batu asas untuk pembinaan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI) dan UPSI Residential and Community Centre (URCC) di Dewan Tuanku Canselor pada 24 April 2024.
Dengan tajaan hampir RM14 juta dari Yayasan Rafulin dan pelbagai pihak, katanya, institut itu bakal menjadi sebuah institusi penyelidikan dan pendidikan antarabangsa yang merangka dasar-dasar terkini dalam bidang tahfiz dan turath, mempelopori pedagogi yang berteraskan teknologi semasa serta menjadi markas diskusi ilmu tahfiz dan turath pada peringkat antarabangsa.
Tambahnya, IPTTI adalah penjenamaan semula Akademi Pondok
Bitara yang bangunannya dibangunkan sepenuhnya berdasarkan dana wakaf melalui
inisiatif Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Khairat dan Sedekah (WEZAS) UPSI.
Menurutnya, gagasan penubuhan IPTTI bermula daripada cetusan
idea Mantan Naib Canselor UPSI, Allahyarham Prof Dr Zakaria Kasa untuk mewujudkan Akademi Pondok Bitara
sebagai usaha untuk memperkasa pendidikan pondok yang memberikan penekanan
kepada Pendidikan Ilmu Turath (Kitab Kuning) dalam konteks pendidikan sepanjang
hayat dan memberikan tempat kepada pelajar lepasan pondok yang mempunyai
pencapaian cemerlang menerusi pensijilan yang akan ditawarkan
“Institut ini juga akan membantu pemuliharaan manuskrip dan
kaedah pembelajaran kitab-kitab turath yang penulisannya mengikut tradisi
ulamak terdahulu dari zaman imam-imam besar seperti Imam Shafie, Imam Malik,
Imam Abu Hanifah dan Imam Ahmad, malah akan bekerjasama erat dengan Majlis
Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) yang sedang giat memulihara khazanah ulamak
nusantara.
Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI) UPSI
“Manakala URCC pula adalah sebuah projek pembinaan asrama pelajar, Pusat Antarabangsa dan Mobiliti, Pusat Kemahiran Bahasa, ruang-ruang sokongan dan infrastruktur luaran di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS),” ujarnya.
Dr Md Amin, berkata projek
URCC bertujuan menampung keperluan fizikal pelajar yang makin meningkat
seiring dengan jumlah kemasukan pelajar yang tidak lagi dapat ditampung oleh kolej
kediaman dan mampu menampung lebih 2,000 pelajar antarabangsa dan tempatan
selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam melestarikan dunia Pendidikan Tinggi negara.
Menurunya, UPSI mengukir pencapaian cemerlang apabila diumumkan
menduduki ranking 151-200 dalam subjek pendidikan menurut QS World University
Rankings 2024, baru-baru ini.
“UPSI juga menubuhkan Sekolah Rendah Seri Budiman (SRSB) sebagai langkah progresif universiti ini dalam menerajui bidang Pendidikan,” terang beliau.
Tetamu, kakitangan dan pelajar UPSI menikmati juadah Jamuan hari raya selepas majlis peletakan batu asas IPTTI dan URCC.
Hadir hadir sama pada majlis itu, Penasihat Undang-Undang
Negeri Perak, Datuk Azmir Shah Zainal Abidi; Pengerusi Jawatankuasa
Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Negeri Perak Darul Ridzuan, Khairudin Abu Hanipah; Pro Canselor UPSI,
Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Sri Dr. Zakri Abdul Hamid; serta Pengerusi
Lembaga Pengarah UPSI, Puan Sri Rohani Parkash
Abdullah.
Selepas majlis peletakkan batu asas berkenaan, diadakan pula majlis sambutan Hari Raya UPSI yang dihadiri lebih 5,000 kakitangan dan mahasiswa. - KitaReporters