Kampus & Pendidikan 25 Jul, 2024

Didik anak-anak sebut alat sulit dengan nama sebenar! Kena buat pendidikan seksualiti tak jadi tabu!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this


PENDIDIKAN seksualiti dan reproduktif dalam masyarakat masih dianggap tabu sehingga dianggap topik yang memalukan dan tidak boleh dibicarakan di khalayak padahal ia amat penting dan sebaliknya sering disalah anggap sebagai mendidik seseorang untuk melakukan hubungan seks.

Akibatnya, kesedaran kanak-kanak terhadap pendidikan seksual masih rendah sedangkan jumlah kes membabitkan seksualiti meningkat setiap tahun. Kes jenayah seksual ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2020 misalnya meningkat mendadak, membabitkan 1,065 kes.

Salah satu langkah bagi memperkasa kanak-kanak dengan ilmu pendidikan seksual dan reproduktif ialah mendidik mereka memanggil bahagian sulit dengan nama sebenar.

Nur Suhaila Ahmad Sanusi atau Ummi Bella (kiri) sebagai moderator, Dr Anayasmin Azmi (tengah) dan Nur Farihah Meor Mazli sebagai ahli panel  forum Mangsa @ Pemangsa: Selamatkah anak Kita? di Surau Al-Sobah, Bandar Baru Bangi, Selangor.


Pakar Pediatrik, Hospital Al-Sultan Abdullah, UiTM Puncak Alam, Selangor, Dr Anayasmin Azmi, berkata ramai ibu bapa atau orang dewasa yang mengajar kanak-kanak untuk memberikan nama panggilan kepada bahagian sulit.

Beliau berkata, zakar lelaki dipanggil 'burung' atau 'sosej,' manakala alat kemaluan perempuan pula dipanggil 'bunga,' 'burger' atau apa-apa panggilan lain. Perkara ini perlu diperbetul kerana akhirnya kanak-kanak akan merujuk perkara yang salah.

"Didik mereka menggunakan perkataan penis atau zakar (kemaluan lelaki), vulva (kemaluan perempuan), punggung dan buah dada," katanya pada forum Mangsa @ Pemangsa: Selamatkah anak Kita? sempena Seminar Pendidikan Seksualiti: Tabu atau Perlu? di Surau Al-Sobah, Seksyen 3, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Forum itu turut disertai Setiausaha Kehormat Perikatan Wanita Antarbangsa Untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) yang juga seorang peguam, Nur Farihah Meor Mazli, manakala moderatornya ialah penulis buku "Ibu, Kita Kuat", Nur Suhaila Ahmad Sanusi atau Ummi Bella.

Seminar kekeluargaan itu dianjurkan Biro Keluarga Masyarakat ISMA Bangi dengan kerjasama Ikatan Pengamal Perubatan Islam Malaysia (I-Medik) dan Surau Al-Sobah. Turut hadir, Yang Di-Pertua Ikatan Muslimin (ISMA) Bangi, Ustaz Zaizul Irshadi. 

Dr Anayasmin Azmi


Menurut Dr Anayasmin, risiko seseorang kanak-kanak itu menjadi mangsa amang atau pengantunan seksual berkurangan apabila pemangsa mendapati kanak-kanak terbabit peka dengan panggilan sebenar alat sulit mereka.

"Ia dapat menakutkan pemangsa kemungkinan kanak-kanak itu akan melaporkan sebarang kegiatan tidak bermoral atau tindakan yang mencabul kehormatannya kepada orang dewasa lain," katanya.

Katanya, kaedah memanggil alat sulit dengan nama sebenar memudahkan komunikasi. Jika seorang kanak-kanak perempuan melaporkan kepada gurunya ada yang menyentuh vulvanya, guru akan mendapat maklumat yang tepat untuk tindakan seterusnya.

Beliau mencadangkan proses memperkenal alat sulit kepada kanak-kanak dilakukan sejak usia mereka setahun. Paling sesuai dilakukan ketika mandi atau mengenakan pakaian, perkenalkan perkataan vulva atau zakar dengan intonasi yang sama seperti kita memperkenal bahagian badan lain. 

Sebahagian ibu bapa yang hadir di Seminar Seksualiti: Tabu atau Perlu anuran Biro Keluarga dan Masyarakat ISMA Bangi.


"Elak menggunakan intonasi yang menunjukkan alat sulit sesuatu yang memalukan malah mereka perlu dididik bahawa alat sulit adalah sesuatu yang privasi, tidak boleh diperlihat, disentuh atau dibincangkan dengan orang lain," katanya.

Beliau yang juga aktivis Pertubuhan Pengamal Perubatan dan Kesihatan Muslim Malaysia (I-Medik), berkata jumlah kanak-kanak dan remaja yang terdedah kepada keruntuhan moral membimbangkan, buktinya kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) mendapati kebanyakan kes remaja hamil luar nikah berumur antara 10 hingga 19 tahun.

"Kita kini berada dalam era hyper seksualiti, di mana ramai individu yang mindanya dipenuhi fantasi seksual diikuti tabiat menonton pornografi, zina, masturbasi keterlaluan dan pedofilia. 

Ibu bapa perlu menganggap isu seksualiti bukan lagi sesuatu yang memalukan tapi perlu disampaikan kepada anak-anak secara terbuka.


"Kajian LPPKN juga mendapati, antara punca remaja terbabit dengan kehamilan luar nikah berpunca daripada pengabaian tanggungjawab ibu bapa khususnya memberikan didikan agama, perceraian ibu bapa dan kurang komunikasi antara ibu bapa dan anak-anak.

"Malah, kesanggupan remaja mengaku melakukan hubungan seks luar nikah dan pernah mengadakan hubungan intim dengan lebih daripada seorang pasangan sebagai sesuatu yang menakutkan," kata  Dr Anayasmin.

Dr Anayasmin berkata, dalam memberi pendidikan seksualiti, usah menggunakan konsep Barat yang hanya memfokuskan kepada mencegah kehamilan dan penularan penyakit kelamin tapi bukan menyelesaikan masalah secara total bahkan ada aspek yang menyimpang daripada sosiobudaya negara ini.

"Malaysia sebagai sebuah negara Islam perlu mengambil kira aspek agama sebagai satu komponen bagi penyelesaian isu ini tapi gunakan acuan kita sendiri kerana kita mempunyai tatasusila berbeza dengan adab ketimuran," katanya lagi.

Malaysia perlu menggunakan pendekatan pendidikan seksualiti mengikut acuan sendiri, bukan mengambil daripada Barat yang hanya memberi fokus kepada pencegahan bukan menyelesaikan masalah secara total.


Bagi Nur Farihah Meor Mazli pula, aktiviti seksualiti dalam kalangan kanak-kanak membimbangkan kerana mereka sudah bijak meminta habuan seks selepas memberikan sesuatu seperti kes kanak-kanak meminta balasan seksual selepas memberi pinjam pemadam kepada kawan perempuannya.

Begitu juga kes seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun yang dirogol secara bergilir-gilir oleh empat remaja di Teluk Intan, baru-baru ini. Kesemua suspek yang ditahan oleh polis berusia antara 14 hingga 17 tahun, dari tempat yang sama dan mengenali antara satu sama lain.

"Di mana ibu bapa kanak-kanak perempuan itu, mengapa mereka tidak tahu pergerakan dan di mana anak mereka yang tiada di rumah walaupun selepas lewat tengah malam? 

Nur Farihah Meor Mazli


"Ibu bapa sepatutnya tahu dengan siapa dan ke mana lokasi yang dituju bagi memastikan mereka tidak terbabit dengan gejala negatif,” katanya.

Beliau turut menyentuh mengenai kes sumbang dalam keluarga yang tidak sepatutnya berlaku dan lebih malang ramai mangsa yang memilih untuk senyap atau diminta untuk melupakan 'kisah hitam' kerana mahu melindungi pelaku (ayah) yang menjadi tunggak utama keluarga.

"Sudah tiba masa masyarakat berani melaporkan terus kepada pihak berkuasa. Sampai bila mahu melihat generasi akan datang berdepan dengan trauma hanya semata-mata mahu menjaga kedudukan keluarga," katanya. 

Iffah Fadhilah Awang Mahaidin


Sementara itu, Pengarah Program Seminar Pendidikan Seksualiti: Tabu atau Perlu, Iffah Fadhilah Awang Mahaidin, berkata sambutan terhadap program itu membuktikan ramai ibu bapa mahu mendapatkan ilmu mengenai perkara yang jarang diperkatakan dalam masyarakat, mungkin dianggap memalukan.

"Memang seminar kekeluargaan seperti ini jarang diadakan kerana topiknya dianggap berat dan sukar disampaikan secara terbuka tapi kami berpendapat ilmu berkaitan seksualiti penting diberikan berikutan peningkatan kes seksual membabitkan kanak-kanak.

"Harapan kami melalui seminar ini, masyarakat lebih peka isu-isu berkaitan seksualiti dan mendidik anak mereka mengikut acuan dan panduan yang diberikan penceramah yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang ini termasuk pengamal undang-undang-undang, perubatan dan agamawan.

"Insya-Allah kami akan mengadakan seminar kekeluargaan seperti ini pada masa depan, mungkin dalam skala lebih besar bagi memberi peluang ibu bapa dan masyarakat mendapat ilmu berkaitan seksualiti selain membuka mata pihak-pihak berkaitan supaya mengambil usaha membendung peningkatan kes-kes seksual kanak-kanak," katanya. - KitaReporters

23
8
0
11
0
You will be interested