BANJIR besar yang melanda Kelantan memberi kesan kepada banyak pihak khususnya keluarga yang ditimpa musibah itu termasuklah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.
Kisah yang mengundang sebak apabila graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Arab, Durratul Alia Mohamad Kamil, 24, mendapat perhatian apabila beliau membuat rakaman video dengan memakai Jubah Konvokesyen sambil mengikuti tayangan istiadat secara dalam talian di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat banjir besar di kampungnya.
Durratul Alia (kanan) menceritakan situasi banjir yang menimpa kampungnya kepada Prof Norkhalid Salimin.
Duratul Alia yang berasal dari Kampung Alor Ganu, Jelawat, Bachok berdepan cabaran besar apabila banjir melumpuhkan kampung halamannya, menyebabkan laluan untuk ke UPSI terputus.
Kisah Durratul Alia memakai jubah melihat konvokesyen UPSI semasa berada di PPS tular dalam media sosial hingga mencecah tiga juta tontonan.
Dalam situasi yang penuh cabaran itu, Durratul Alia berdepan dengan kesukaran besar untuk hadir ke majlis konvokesyen UPSI ke-26 pada 30 November 2024 lalu walaupun sekian lama menantikan detik bersejarah itu.
Prof Norkhalid (tiga dari kiri) menyerahkan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Bahasa Arab kepada Durratul Alia di rumahnya di Kampung Alor Ganu, Jelawat, Bachok, Kelantan sambil disaksikan oleh ahli keluarganya. - Kredit Photo UPSI
Sehubungan itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff,menyatakan komitmen universiti dalam membantu pelajar yang terkesan akibat bencana alam.
Beliau berkata, UPSI sentiasa bersedia membantu semua warga yang terjejas, termasuk pelajar dan keluarga mereka.
Justeru, katanya, sebagai universiti pertama yang turun padang memberikan sumbangan serta pertolongan kami memastikan kebajikan masyarakat adalah keutamaan.
Jelasnya, menyedari kesulitan yang dihadapi pelajar dari kawasan yang terjejas, pihak UPSI segera menunjukkan keprihatinan mereka.
Dalam kes Durratul Alia pula katanya, pihak universiti dengan penuh memahami situasi beliau dan memberi kelonggaran untuk membenarkannya mengikuti majlis konvokesyen pada tahun hadapan (2025), setelah keadaan banjir pulih dan perjalanan kembali selamat.
"Keputusan ini bukan sahaja menunjukkan komitmen UPSI dalam menjaga kebajikan pelajarnya, tetapi juga memberikan rasa harapan dan sokongan yang mendalam kepada graduan seperti Durratul Alia yang terpaksa mengorbankan detik penting itu kerana bencana alam.
Prof Norkhalid merakam kenangan bersama ahli keluarga Durratul Alia.
Menurut Durratul Alia, dia dan keluarganya sangat menghargai sokongan itu dan amat berterima kasih kepada UPSI atas keprihatinan serta bantuan mereka.
"Tindakan UPSI ini adalah satu contoh teladan tentang bagaimana institusi pendidikan boleh menunjukkan empati dan sokongan terhadap pelajarnya, " katanya.
Durratul Alia yang kini berniaga secara online dan mengajar mengaji al-Quran di rumahnya meluahkan rasa terharu kerana UPSI memahami kesulitan dihadapi pelajarnya serta sentiasa memberi ruang untuk mereka meraikan kejayaan iaitu merasai pengalaman konvokesyen sempurna tahun hadapan (2025).
"Kehadiran pihak universiti dalam situasi ini membuatkan saya berasa UPSI sentiasa di hati dan memberi semangat baharu untuk terus maju,” luah graduan itu ketika dikunjungi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin di rumahnya pada 4 Disember 2024.
Graduan daripada Fakulti Pengajian Pendidikan UPSI.
Prof Dr Norkhalid yang menzahirkan ucapan tahniah, berkata alumni adalah sebahagian daripada keluarga besar UPSI, oleh itu menjadi tanggungjawab kita untuk membantu sahabat-sahabat yang menghadapi kesusahan sekarang.
Katanya, pendekatan itu jelas menunjukkan semangat kebersamaan UPSI dalam mengutamakan kebajikan pelajar dan alumni, terutama ketika mereka diuji dengan cabaran besar seperti bencana banjir.
"UPSI membuktikan bahawa di tengah-tengah kesulitan, pendidikan dan pencapaian akademik tetap diutamakan dan setiap graduan berhak untuk merayakan kejayaan mereka tidak kira apa jua halangan yang merekahadapi," katanya lagi. - KitaReporters