BAWALAH keluarga beriadah di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan serta kasih sayang dengan menyertai acara sukan termasuklah boling.
Bagi penduduk di daerah Muallim, Universiti Pendidikan
Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, sentiasa prihatin dan komited
membantu masyarakat mencipta keharmonian hidup bukan sahaja untuk satu keluarga
malah masyarakat amnya.
Sehubungan itu, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, menyediakan kemudahan baharu UPSI Sports Bowl bukan sahaja untuk warga kampus malahan terbuka untuk masyarakat mulai 14 September 2024.
Prof Md Amin melahirkan rasa gembira dengan kewujudan UPSI Sports Bowl.
Naib Canselor, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata kemudahan yang disediakan itu selaras dengan lima fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) iaitu Penyediaan Bakat Terbaik Negara; Pengukuhan Ekosistem Penyelidikan dan Inovasi; Pelaksanaan Pendekatan Baharu Program Pemindahan dan Perkongsian Ilmu; Pengantarabangsaan Pendidikan Tinggi; dan Pemantapan Ekosistem Pemboleh Daya.
Malah, katanya, UPSI giat membangunkan pelbagai kemudahan
selaras dengan konsep universiti yang bermanfaat untuk komuniti.
"Komuniti setempat sebenarnya sebahagian daripada warga kampus yang berhak mendapat limpahan rahmat daripada segala kemudahan dan program yang dilaksanakan universiti," tegasnya.
Antara warga UPSI yang sudah mula bermain boling.
Kemudahan boling 24 lorong yang dilengkapi surau dan kafeteria itu, menurut beliau, menjadi tarikan baharu UPSI yang dinanti-nantikan warga kampus dan masyarakat setempat sekian lama.
Jelasnya, UPSI mengalu-alukan orang ramai di luar kampus
bermain dan bawalah keluarga untuk beriadah bagi mengeratkan kasih sayang
menerusi sukan boling.
UPSI Sports Bowl yang terletak di Kampus Sultan Azlan Shah,
Proton City itu akan dirasmikan oleh Canselor UPSI, Tuanku Zara Salim pada
Oktober depan.
"Pelbagai kemudahan yang diwujudkan UPSI seperti kolam
renang, UPSI Adventure Park, Lapang Sasar Golf serta UPSI Sport City juga
menjadi pemangkin kepada aktiviti pelancongan di daerah Muallim yang terkenal
dengan puluhan air terjun yang menjadi destinasi masyarakat, " ujarnya.
UPSI juga menjadi katalis kepada ekonomi penduduk sekitar terutama sepanjang sesi pengajian dan November nanti akan berlangsung majlis istiadat konvokesyen pula.
Prof Md Amin meninjau kerja menyiapkan UPSI SportsBowl.
Prof Md Amin, berkata dengan jumlah pelajar hampir 20,000,
UPSI menjadi penyumbang besar terhadap aktiviti perniagaan dan penginapan di
daerah Muallim.
Tambahnya, pelajar UPSI yang menjalani Latihan Mengajar (LM)
dan Latihan Industri (LI) sangat komited dalam mempraktikkan ilmu yang
dipelajari.
"Kami membentuk mahasiswa supaya bukan sahaja cemerlang
akademik tetapi beradab dan berakhlak kerana ini juga yang dipandang majikan
dan masyarakat.
“UPSI juga melatih kakitangan dan pelajar supaya sentiasa
prihatin dan berperikemanusiaan terhadap kehidupan masyarakat seperti membantu
mangsa banjir," katanya. - KitaReporters