Kampus & Pendidikan 28 Oct, 2023

Terbaiklah UniMAP! Realisasikan hasrat OKU pendengaran lanjutkan pengajian! Tahniah Muhammad Fuzail!

@unimap corp comm
Pusat Komunikasi Korporat UniMAP. Emel: pro@unimap.edu.my

Share this


Kegusaran seorang remaja orang kurang upaya (OKU) pendengaran bagi menyambung pengajian akhirnya terlerai apabila keprihatinan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) menawarkan tempat bagi mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Muda pada 30 Oktober 2023 nanti.

Muhammad Fuzail Mohd Mohiddeen, 24, hilang pendengaran sejak berusia 13 tahun berusaha memohon ke pelbagai universiti selepas menghabiskan pengajian diploma namun tidak berjaya menyebabkan dia mencuba nasib memohon UniMAP.

Muhammad Fuzail berkata, bagaikan mimpi apabila beliau menerima panggilan telefon dari UniMAP dan tidak menyangka Naib Canselor sendiri datang menyerahkan surat tawaran kepadanya di rumah, di Bertam, Pulau Pinang, pada 26 Oktober 2023 lalu..

Ujarnya, beliau yang sebelum ini merupakan lepasan Diploma Logistik dari Politeknik Seberang Prai juga terpaksa menangguhkan hasrat menyambung pengajian selepas menjalani pembedahan implan koklea pada 2022 di samping rawatan susulan selepas pembedahan berkenaan.

“Kedua-dua telinga tidak berfungsi langsung dan selepas pembedahan implan koklea, hanya telinga sebelah kiri dapat digunakan.

"Saya juga tidak boleh melakukan aktiviti lasak bimbang menjejaskan rawatan yang sedang dijalani sehingga kini,” kata beliau ketika ditemui selepas dikunjungi Naib Canselor Prof Dato’ Ts Dr Zaliman Sauli bagi menyerahkan surat tawaran pengajian Ijazah Sarjana Muda Keusahawanan Kejuruteraan kepadanya.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Prof Ts Dr Mohd Mustafa Al-Bakri Abdullah, Pengarah Pusat Pengurusan Akademik, Prof Madya Ir. Dr Ruslizam Daud dan Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), Muhammad Alif Zuhaili Shafarin.



Tambah Muhammad Fuzail, beliau teruja dapat menyambung pengajian di UniMAP memandangkan adik perempuannya juga kini sedang mengikuti pengajian dalam Diploma Kejuruteraan Elektronik di universiti itu.

“Saya bersyukur diberi peluang ini malah keluarga turut gembira kerana mereka turut memberi sokongan memandangkan saya telah berusaha pelbagai cara bagi menyambung pengajian dengan keadaan dialami,” katanya.

Terdahulu, Ts Dr Zaliman turut menyampaikan bantuan awal melanjutkan pengajian bernilai RM500 sebagai persediaan Muhammad Fuzail mendaftar masuk ke UniMAP penghujung bulan Oktober 2023 ini dan wang tunai RM500 daripada Yayasan Kebajikan Siswa.

Bekliau berkata pihak UniMAP memahami kesukaran yang dihadapi Muhammad Fuzail dan pihak universiti melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menyediakan dana bagi memberi peluang golongan seperti Muhammad Fuzail mendapat tempat di universiti.

“Di UniMAP juga terdapat pelbagai kemudahan yang mesra OKU jadi akan memudahkan pelajar OKU menjalani rutin harian mereka dengan lebih selesa.

“Mereka hanya perlu berusaha bersungguh-sungguh bagi mencapai kejayaan dan tidak mensia-siakan peluang yang diberikan. Pihak KPT dan universiti terbuka menerima pelajar sama ada OKU mahupun golongan B40 bagi menyambung pengajian,” kata Ts Dr Zaliman. - KitaReporters/UniMAP

14
18
0
15
0
You will be interested