Kampus & Pendidikan 05 Sep, 2023

Bina bakat bola sepak dalam kalangan pelajar! MMU, KLFA meterai MoU! Sasar juarai Liga Bola Sepak IPT!

Share this

Prof. Mazliham Mohd. Su’ud (dua dari kiri) dan Syed Yazid Syed Omar menandatangani dokumen MoU di MMU Cyberjaya, pada 4 September 2023.


Universiti Multimedia (MMU) pada 4 September 2023 memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk meningkatkan lagi bakat bola sepak dalam kalangan pelajar MMU.

Ini merupakan kali pertama MMU memeterai MoU dengan persatuan bola sepak, yang mana ia bakal mengukuhkan pembangunan pelajar dalam sukan serta memberi peluang kepada pemain KLFA untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi di MMU. 

MoU itu ditandatangani oleh Prof. Dato’ Dr. Mazliham Mohd Su’ud, Presiden MMU, dan Syed Yazid Syed Omar, Naib Presiden KLFA di kampus MMU Cyberjaya.

Sambil melahirkan rasa gembira dengan kerjasama itu, Prof. Mazliham menyifatkan ia sebagai satu lonjakan yang besar untuk pembangunan sukan di MMU dan boleh meningkatkan tahap kemahiran pemain-pemain MMU bagi Liga Bola Sepak IPT anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Saya amat berbesar hati dengan kesediaan KLFA dalam membina hubungan kerjasama ini.”  

“Adalah menjadi harapan kami agar pemain bola sepak MMU mendapat latihan intensif yang membantu kami muncul sebagai universiti swasta pertama yang menjuarai Liga Bola Sepak IPT,” katanya pada majlis menandatangani MoU tersebut. 

Perjanjian itu juga akan membolehkan para pemain KLFA mendapat akses ke pendidikan tinggi dalam pelbagai program di MMU. Dengan kelayakan akademik, mereka boleh mendapat peluang kerjaya yang cerah jika mereka ingin menceburi bidang lain pada masa hadapan.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada KLFA atas kerjasama itu, Prof. Mazliham berkata, ketika ini terdapat dua pelajar MMU yang bermain untuk Piala Belia Bandar Raya KL dan tiga lagi pelajar dipilih untuk beraksi dalam Piala Presiden Bandar Raya KL.

Pasukan bola sepak MMU memperoleh kedudukan keenam dalam Liga Bola Sepak IPT Divisyen 1 dari Oktober 2022 hingga Februari 2023. Ia adalah suatu peningkatan yang baik berbanding ranking tahun lalu (2022) di mana pasukan MMU berada di tangga kesembilan liga itu.



Sementara itu, Syed Yazid berkata, MoU itu merintis kerjasama dalam usaha membangunkan bakat-bakat baharu untuk bidang bola sepak di IPT dan juga pada peringkat tanah air pada masa depan. 

“Kerjasama ini bakal memberi manfaat kepada kedua-dua belah pihak sama ada dalam pembangunan pelajar mahupun kemajuan sukan negara,” tambahnya.

Menurutnya, pihak KLFA berbesar hati ingin berkongsi kepakaran terutama dari sudut kejurulatihan, kecergasan, fisioterapi, dan taktikal permainan bagi membantu pasukan MMU menjuarai sesuatu kejohanan bola sepak.

Turut hadir pada majlis menandatangani perjanjian itu ialah Prof. Dr. Wong Eng Kiong, Naib Presiden Pengalaman Pelajar, Keusahawanan dan Pembangunan (SEED) MMU dan Nokman Mustaffa, Setiausaha KLFA. - KitaReporters/MMU

21
13
0
10
0
You will be interested