Kampus & Pendidikan 26 Jun, 2025

Terima kasih MIED! Biasiswa kepada 726 pelajar pelbagai kaum Universiti AIMST! Bernilai RM18j!

@abd razak osman
Bekas stringer Kosmo! dan mempunyai pengalaman lebih 40 tahun dalam media. Pernah bertugas di Berita Harian, Harian Watan dan Bernama. Menulis selagi masih hidup. Emel: razakosman1950@gmail.com

Share this

Antara pelajar Universiti AIMST yang terima biasiswa MIED pada Majlis Penyerahan Cek MIED 2025 pada 14 Jun 2025.


SERAMAI 726 pelajar yang mengikuti pelbagai bidang pengajian di Universiti AIMST di Kedah melahirkan perasaan lega dan gambira kerana menerima biasiswa daripada Institut Pembangunan Pendidikan Maju (MIED) sebanyak RM18 juta pada Majlis Penyerahan Cek MIED.

Dari jumlah itu, RM16 juta diberi kepada 168 pelajar perubatan, 78 pelajar pergigian, 81 pelajar farmasi, 33 pelajar fisioterapi, 20 pelajar bioperubatan dan 152 pelajar yang mengikuti program ijazah lain. Manakala 194 pelajar Asasi menerima biasiswa berjumlah RM2 juta.

Pengerusi MIED merangkap Canselor Universiti AIMST, Tan Sri S A Vigneswaran berkata, semua pelajar tentu bersemangat untuk mengikuti kuliah dengan lebih tekun setelah menerima biasiswa daripada MIED.

Katanya, pelajar pelbagai kaum yang menerima biasiswa ini ada juga dalam kalangan anak keluarga berpendapatan rendah.

Menurutnya, sejak ditubuh pada tahun 1984, MIED telah menerima lebih RM216 juta dari kerajaan dalam bentuk pendidikan dan memberi manfaat kepada seramai 14,000 pelajar di seluruh negara.


S A Vigneswaran berucap pada Majlis Penyerahan Cek MIED 2025.


"Terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Dato' Seri Anwar Ibrahim di atas kesudian meneruskan pemberian biasiswa kepada pelajar untuk memajukan lagi Universiti AIMST dan menyokong MIED," katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena Majlis Penyerahan Cek MIED 2025 berlangsung di Kampus Universiti AIMST Semeling, Merbok pada 14 Jun 2025 lalu.

Menurut Vigneswaran, impian pelajar untuk menjadi seorang doktor perubatan, doktor gigi atau ahli farmasi akan tercapai dengan mudah setelah menamatkan pengajian nanti.

Sementara itu, Naib Canselor AIMST, Dr. Kathiresan V. Sathasivam pula berkata, biasiswa yang diberikan kepada pelajar Melayu, Cina, India atau lain-lain akan menguatkan iltizam mereka ketika berada di AIMST.


Vigneswaran menyampaikan biasiswa kepada seorang pelajar Universiti AIMST.


Seorang penerima biasiswa itu, Kaisyah Rizqiin Mohamed Kamaludeen, 20, dari Rawang, Selangor berkata, dia mengikuti pengajian bidang perubatan Ijazah Sarjana Muda selama lima tahun di universiti itu.

"Sebagai seorang pelajar, saya begitu gembira sekali kerana menerima biasiswa sebanyak RM40,000," katanya.

Menurutnya lagi, setiap pelajar menerima biasiswa tidak perlu membayar balik kerana biasiswa diberikan khas kepada setiap pelajar daripada MIED. - KitaReporters


25
25
0
29
0
You will be interested