Kampus & Pendidikan 08 Nov, 2025

Perkenal Kubang Pasu Intelligence (KPI)! Pendekatan pendidikan berasaskan ilmu, adab, teknologi (AI)!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Kejayaan pelajar bukan hanya bergantung kepada keputusan akademik semata-mata, tetapi turut ditentukan oleh kekuatan adab dan keperibadian yang tinggi, kata Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Kubang Pasu, Ishak Zulkifli.


Pelajar dari beberapa sekolah menengah di daerah Kubang Pasu tekun mengikuti sesi bimbingan.

Beliau menegaskan, ilmu tanpa adab akan hilang keberkatan, manakala adab tanpa ilmu tidak membawa kemajuan. Gabungan kedua-duanya akan melahirkan insan yang seimbang dan bertamadun.

“Program seperti ini bukan sekadar untuk kecemerlangan akademik, tetapi medan membentuk sahsiah dan nilai diri pelajar agar menjadi insan yang berilmu serta beradab,” katanya ketika berucap menutup program Semarak Usaha Menuju Cemerlang SPM 2025 di Dewan Seminar Pusat Islam Universiti Utara Malaysia (UUM) pada 26 Oktober 2025 lalu.

Beliau berkata, pendidikan abad ke-21 menuntut pelajar bukan sahaja cemerlang dalam akademik, tetapi turut menguasai teknologi, kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) dan nilai moral yang kukuh.


Ishak Zulkifli menyampaikan ucapan penutup.

Dalam ucapannya, Ishak memperkenal konsep Kubang Pasu Intelligence (KPI), iaitu pendekatan pendidikan berasaskan ilmu, adab dan teknologi khususnya kecerdasan buatan (AI) bagi melahirkan pelajar berdaya saing dalam era digital.

Artificial Intelligence boleh menjadi rakan pembelajaran jika digunakan secara berhemah. Pelajar perlu memanfaatkan teknologi ini untuk menambah ilmu dan mencari kefahaman, bukan sekadar hiburan,” katanya.

Beliau turut menyeru pelajar agar menanam sikap berdikari dalam belajar dan saling membantu melalui kumpulan perbincangan, sambil menekankan tiga strategi utama kejayaan iaitu berhikmah dalam tindakan, menjadi rakan pembimbing kepada pelajar lain serta menubuhkan kumpulan perbincangan bagi memperkukuh kefahaman.

“Ilmu yang dikongsi akan kekal lama dalam ingatan. Apabila pelajar saling membimbing, mereka bukan sahaja membantu diri sendiri tetapi juga rakan lain untuk berjaya bersama,” katanya.


Sebahagian daripada 76 pelajar dari 19 sekolah menengah di daerah Kubang Pasu yang menyertai Program Semarak Usaha Menuju Cemerlang SPM 2025.

Ishak turut mengumumkan sasaran baharu PPD Kubang Pasu, iaitu 97 peratus pelajar daerah ini layak memperoleh sijil penuh SPM 2025.

“Ini bukan angka mustahil. Dengan bimbingan guru, usaha gigih pelajar serta doa ibu bapa, sasaran ini boleh dicapai. Kejayaan tidak datang dengan mudah, ia hasil doa, usaha dan keikhlasan,” ujarnya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Kubang Pasu yang dipengerusikan oleh Abd Rahman Abidin atas penajaan penuh dan sokongan terhadap program berkenaan.

Program itu menghimpunkan 76 pelajar daripada 19 sekolah menengah di daerah Kubang Pasu dengan tumpuan khas kepada subjek Bahasa Melayu dan Sejarah yang dianggap penentu kelayakan sijil penuh SPM.


Ishak Zulkifli (tengah) menyampaikan sijil penghargaan kepada wakil guru.

Ishak Zulkifli menerima cenderamata daripada Pengerusi Majlis Pengetua Sekolah Menengah (MPSM) Kubang Pasu, Abd Rahman Abidin.

Ishak turut berpesan kepada ibu bapa agar tidak putus mendoakan kejayaan anak-anak.

“Saya nasihatkan ibu bapa supaya bangun bertahajud dan membaca surah Yasin pada hari semakan keputusan. Doa yang ikhlas daripada ibu bapa adalah kunci kejayaan sebenar anak-anak,” katanya.

Beliau menegaskan, apabila pelajar berilmu dan beradab, negara akan menjadi sejahtera dan masyarakat terbina dengan nilai ketamadunan tinggi.

“Lelaki menjadi pemimpin bijaksana, wanita menjadi pendidik generasi. Inilah asas pembangunan insan yang sebenar,” katanya mengakhiri ucapan.

Turut hadir Pengerusi MPSM Kubang Pasu, Rahman Abidin serta guru-guru Sejarah yang berkongsi strategi menjawab soalan KBAT dalam program berkenaan. - KitaReporters



Ishak Zulkifli (lima dari kanan) bersama barisan pengetua dan pegawai pendidikan daerah Kubang Pasu selepas majlis penutupan Program Semarak Usaha Menuju Cemerlang SPM 2025 di Dewan Seminar Pusat Islam UUM, Sintok. 

16
10
0
10
0
You will be interested