Kampus & Pendidikan 25 Aug, 2025

Lidah Pengarang| Wujudkan pengetua tetap asrama, pekerja sosial sekolah! Sebagai langkah cegah buli!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this



Isu buli di asrama yang sering berulang sehingga ada kes membawa kepada kematian mencetuskan cadangan agar diwujudkan jawatan khusus Pengetua Tetap Asrama dan Pekerja Sosial Sekolah bagi memperkukuh pengurusan pelajar secara lebih profesional dan berkesan.


Noor Azman Yusof.

Bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Noor Azman Yusof, berkata sudah tiba masanya kerajaan meneliti cadangan ini kerana kebanyakan pengurusan asrama kini diisi oleh pentadbir secara sambilan, sedangkan tugasan itu memerlukan fokus sepenuhnya.

“Pengurusan asrama bukan sekadar tugasan tambahan. Ia perlu ada pengetua khusus yang mengenali pelajar seolah-olah anak sendiri, memahami tingkah laku dan permasalahan mereka melalui pendekatan yang sesuai,” katanya.


 

Prof Madya Dr Rohani Abdullah.

Pengerusi Majlis Pengetua Inapan Siswa (Inasis) Universiti Utara Malaysia (UUM) yang juga Pengetua Inasis Tenaga Nasional Berhad (TNB) UUM, Prof Madya Dr Rohani Abdullah, pula berkata pengalaman beliau membuktikan pengurusan asrama yang profesional mampu melahirkan pelajar berdisiplin dan berjaya.

Menurutnya, pelajar lama, baharu atau yang memegang jawatan kepimpinan dapat bekerjasama melalui Jawatankuasa Kepimpinan Pelajar Siswa (JKPS) di kolej kediaman, yang telah menunjukkan contoh persefahaman baik antara pelajar.


Prof Madya Dr Rajwani Md Zain. 


Sementara itu, Pensyarah Kanan Psikologi UUM, Prof Madya Dr Rajwani Md Zain, menekankan seminar dan bengkel bersama PIBG serta pihak sekolah mampu menjadi ruang perkongsian idea baharu untuk mencegah gejala buli.

Beliau menambah, sudah sampai masanya Pekerja Sosial Sekolah diwujudkan bagi mengendalikan pelajar yang menjadi mangsa buli dan juga mereka yang terlibat sebagai pembuli.

“Melalui intervensi yang sesuai termasuk pendekatan individu, kelompok dan komuniti, usaha ini diyakini dapat membantu menangani masalah buli dengan lebih berkesan,” jelasnya.


Gambar hiasan... Elakkan buli

Cadangan itu turut menekankan pentingnya kerjasama erat antara PIBG, pihak sekolah, universiti dan pakar psikologi bagi mewujudkan ekosistem asrama yang lebih selamat.

Usaha ini diyakini mampu memberi keyakinan kepada ibu bapa bahawa kehidupan di asrama bukan sahaja selamat malah menyeronokkan, sekali gus mendorong anak-anak untuk berminat tinggal di asrama. - KitaReporters

14
7
0
11
0
You will be interested