Kampus & Pendidikan 26 Jan, 2026

Demi kebajikan mahasiswa! MPP sokong Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia! Kukuhkan suara pelajar!

@ketua editor
Ketua Editor KitaReporters.com... Boleh hantar emel kenyataan media atau berita dan story ke [email protected] atau [email protected]

Share this

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Utara Malaysia (UUM) menyambut baik pelancaran Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 dan menyatakan sokongan penuh terhadap usaha Kerajaan memperkukuh sistem pendidikan tinggi negara menerusi Rancangan Pendidikan Negara (RPN) 2026-2035 agar lebih inklusif, mampan dan berorientasikan masa hadapan.



Yang Dipertua MPP UUM, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal, berkata RPTM merupakan dokumen hala tuju strategik yang memberi penekanan terhadap pembangunan insan holistik, kesejahteraan mahasiswa serta pembentukan kepimpinan, keusahawanan dan pemikiran sistem dalam kalangan pelajar.

Menurut beliau, cabaran mahasiswa masa kini semakin kompleks dan bersifat menyeluruh, termasuk tekanan kos sara hidup, beban kewangan harian, keperluan bekerja sambilan serta isu kesejahteraan mental dan sosial yang memberi kesan langsung terhadap tumpuan pembelajaran dan kualiti kehidupan.

“Pelaksanaan RPTM perlu berjalan seiring dengan penekanan berterusan terhadap kebajikan mahasiswa, sokongan psikososial, kemudahan asas kampus serta jaringan keselamatan sosial agar pendidikan tinggi bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran, malah insan yang seimbang dan berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan pada 21 Januari 2026.



MPP UUM turut menyambut baik komitmen Kerajaan memperluas inisiatif pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kepada 10,000 pelajar daripada keluarga miskin untuk melanjutkan pengajian di Institut Pendidikan Tinggi Awam (IPTA).

Inisiatif itu disifatkan sebagai langkah signifikan bagi menjamin akses pendidikan tinggi yang adil dan saksama, khususnya kepada golongan rentan, di samping memperkukuh peranan IPTA sebagai saluran mobiliti sosial dan pembangunan modal insan negara.

Selain itu, MPP UUM juga menyokong pengecualian yuran pengajian kepada kira-kira 3,000 pelajar Orang Kurang Upaya (OKU) di seluruh IPTA, politeknik dan kolej komuniti sebagai manifestasi komitmen terhadap prinsip keterangkuman dan keadilan sosial.

"MPP UUM pun menyambut baik penambahan 3,000 tempat baharu kemasukan ke IPTA bagi tahun 2026, khususnya kepada pelajar cemerlang dan lepasan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dalam bidang berimpak tinggi seperti undang-undang, perakaunan, kewangan, kecerdasan buatan, ekonomi, bahasa, komunikasi, pengajian media, sains data serta sains komputer," menurut Muhammad Syahmi Iman dalam kenyataan tersebut.




Dalam aspek kebajikan pelajar, MPP UUM menghargai komitmen Kerajaan menangani isu penginapan mahasiswa melalui penyediaan 5,000 unit penginapan tambahan hasil kerjasama strategik antara universiti dan Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC), selain memastikan yuran penginapan kekal berpatutan.

Muhammad Syahmi Iman berkata, sebagai universiti yang memfokuskan bidang pengurusan, ekonomi dan kepimpinan, Universiti Utara Malaysia berada pada kedudukan strategik untuk menyokong aspirasi RPTM dan melahirkan graduan berintegriti, berdaya saing serta bersedia memimpin sektor awam dan swasta.

"Kejayaan RPTM bukan hanya bergantung kepada perancangan dasar, sebaliknya memerlukan pelaksanaan yang konsisten, berfokuskan kebajikan serta berpaksikan suara mahasiswa bagi memastikan pendidikan tinggi terus menjadi pemacu utama pembangunan negara," tegas beliau. - KitaReporters/Kenyataan Media


17
12
0
11
0
You will be interested