Memang benar pepatah Melayu, jika mahu melentur buluh biar daripada rebungnya dan tidak salah jika ia bermula pada peringkat sekolah rendah lagi.


Menyedari hakikat ini juga syabas dan tahniah kepada warga Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Puyu, Butterworth yang bersungguh-sungguh mewarnai sambutan Bulan Kemerdekaan negara dan Hari Malaysia dengan pelbagai aktiviti dan ragam demi mewujudkan kesedaran cintakan negara serta jalur gemilang.
Menjelang sambutan 16 September 2025 yang juga Hari Malaysia perarakan mengibarkan Jalur Gemilang dengan penuh warna warni, ceria memenuhi persekitaran sekolah pada awal pagi 12 September 2025 dengan pelbagai gelagat peserta.
Malah konvoi Basikal Klasik Merdeka turut menjadi tarikan di samping perarakan, hiasan busana bertemakan kemerdekaan, persembahan pelajar dan juga kreativiti setiap kelas dalam hiasan perarakan.


Ternyata warna-warni kemerdekaan dengan semangat dan gelagat menyambut kemerdekaan yang ditonjolkan begitu hebat serta menzahirkan kecintaan terhadap negara selaras dengan tema kemerdekaan tahun ini 'Malaysia Madani, Rakyat Disantuni'.
Perarakan pelbagai kelas juga terbukti dapat menanam nilai patriotisme serta menyerlahkan lagi kreativiti dan suasana patriotik yang membanggakan dalam kalangan pelajar.

Secara keseluruhan sambutan Bulan Kemerdekaan yang dilaksanakan, kempen kibar Jalur Gemilang yang dilangsungkan telah berjaya menyatukan warga sekolah, para waris dan komuniti setempat yang turut hadir pada hari yang penuh gilang gemilang kali ini.
Program awal pagi tersebut yang disempurnakan oleh Mohd Fakhri Mohd Ali, Pegawai Seranta Adun Sungai Puyu turut dihadiri oleh pihak PDRM, anggota Kelab Basikal Klasik Butterworth serta juga Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Puyu. - KitaReporters
