Dahulu rotan bukan alat untuk menyakitkan. Ia tanda kasih dan disiplin yang tinggi dalam mendidik anak-anak. Di tangan guru, ustaz, ustazah dan ibu bapa, rotan menjadi lambang tanggungjawab dan keprihatinan.

Oleh NUR SAKINAH SAMSUDIN
Universiti Malaya (UM)
Dahulu rotan bukan alat untuk menyakitkan. Ia tanda kasih dan disiplin yang tinggi dalam mendidik anak-anak. Pada tangan guru, ustaz, ustazah dan ibu bapa, rotan menjadi lambang tanggungjawab dan keprihatinan.
Setiap kali rotan diangkat, niatnya bukan untuk menghukum. Ia sebagai peringatan supaya anak-anak belajar menghormati dan sedar akan kesilapan mereka.
Rotan menjadi pelajaran awal tentang erti tanggungjawab, kesabaran dan rasa hormat terhadap orang tua serta guru.

Generasi terdahulu membesar dalam suasana tegas tetapi penuh kasih. Anak-anak tidak memberontak apabila ditegur. Mereka tahu setiap pukulan ringan itu lahir daripada kasih sayang.
Ibu bapa pula tidak mempertikai tindakan guru. Malah, mereka bersyukur kerana anak-anak mendapat didikan yang membentuk sahsiah dan disiplin tinggi.
Namun keadaan kini jauh berbeza. Isu rotan sering menjadi perdebatan. Sedikit teguran dianggap kasar.
Tindakan mendisiplinkan murid kadang-kadang dilapor ke media sosial. Ada ibu bapa cepat melatah dan menuduh guru tanpa memahami keadaan sebenar.
Akhirnya, guru dan ustaz menjadi serba salah. Hendak menegur takut disalah erti. Tidak menegur pula bimbang anak-anak terus hanyut tanpa panduan.
Situasi ini menyebabkan nilai hormat semakin pudar dan disiplin pelajar kian merosot.


Sebenarnya rotan bukan punca masalah. Yang salah ialah cara kita memandangnya.
Rotan yang digunakan dengan hikmah dan niat mendidik mampu membentuk peribadi yang baik. Ia bukan tanda marah tetapi tanda sayang.
Dalam ajaran Islam, mendidik dengan tegas dibenarkan selagi tidak melampaui batas.
Begitu juga dalam pendidikan. Teguran dan ketegasan perlu seimbang dengan kasih sayang. Itulah cara yang membentuk generasi beradab dan berilmu.
Ramai yang dibesarkan dengan rotan akhirnya menjadi insan berjaya.
Mereka tidak menyimpan dendam. Malah, berterima kasih kepada guru dan ibu bapa kerana mendidik dengan penuh keikhlasan. Teguran dahulu menjadi panduan hidup sehingga dewasa.
Jika hari ini kita terlalu takut kepada rotan, mungkin kita sedang kehilangan keberkatan dalam mendidik.
Kasih sayang bukan bermakna memanjakan. Teguran dan disiplin adalah tanda kasih yang sebenar. Tanpa itu, generasi baharu akan membesar tanpa panduan dan adab.

Guru disiplin menerapkan adab dan ketegasan dalam mendidik murid berlandaskan kasih sayang.
Rotan tidak perlu dihapuskan. Cukup sekadar digunakan dengan budi bicara.
Guru, ustaz dan ibu bapa perlu memahami cara terbaik untuk mendidik dengan hati. Tegas tidak semestinya keras, dan lembut tidak bererti lemah.
Dalam mendidik anak bangsa, kasih sayang dan ketegasan mesti seiring.
Itulah resipi membentuk insan berilmu, beradab dan berjaya seperti generasi terdahulu yang pernah dirotan tetapi kini menjadi insan berguna kepada masyarakat dan negara.
Nur Sakinah Samsudin ialah seorang pelajar Universiti Malaya (UM). Artikel ini adalah pandangan penulis

Nur Sakinah Samsudin.