
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerima kunjungan delegasi dari Moscow State University yang diketuai Dr Eugenia Kukushkina. Turut bersama Aleksandr Zimin dari Kedutaan Rusia bagi membincangkan kerjasama dua hala mengenai perkembangan pengajaran bahasa Rusia di Malaysia dan juga bahasa Melayu di Rusia.
Kerjasama ini adalah susulan daripada lawatan rasmi Naib Canselor USIM, Prof Dato’ Ts Dr Sharifudin Md Shaarani ke Kazan Forum dan kerjasama bersama Kazan Federal University pada 18 Mei 2023 yang lalu.
Dr Eugenia,
yang merupakan Ketua Jabatan Filologi di Moscow State University berkata,
terdapat sambutan hangat yang diterima oleh pelajar asing untuk mempelajari
bahasa Melayu di Moscow State University.
“Saya sudah berpengalaman lebih daripada 30 tahun mengajar kursus Bahasa Melayu di Universiti, termasuk di Universiti Malaya (UM). Pelajar nampak bersemangat dan gembira untuk mempelajari dan menguasai bahasa Melayu dengan baik dan saya akan pastikan mereka boleh berkomunikasi dan bertutur dalam bahasa Melayu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Dr Eugenia juga berharap agar pihak Pusat Pengajian Teras (PPT) USIM dapat mengadakan jalinan kerjasama melalui MoU bersama Moscow State University supaya beberapa program dapat dijalankan seperti pensyarah jemputan (Visiting Lecturer), perkongsian akademik (Academic Talk), dan pertukaran pelajar.
Turut hadir perbincangan bersama Dr Eugenia ialah Khairil Azwan Abu Mansor, Ketua Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Hubungan Antarabangsa, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Padmarajah a/l Selvarajah, Penolong Setiausaha Kanan, Bahagian Hubungan Antarabangsa, KPT.
Sementara itu, Khairil Azwan turut menyokong kerjasama antara USIM dan Moscow State University dengan lebih erat bagi memberi manfaat kepada kedua belah pihak. - KitaReporters/USIM