Sesi pendaftaran pelajar-pelajar baharu UMT. - Gambar kredit: Media UMT
UNIVERSITI Malaysia Terengganu (UMT) menerima 366 pelajar sempena pendaftaran kemasukan pelajar Diploma Perikanan dan Asasi STEM Sesi pendaftaran 2023/2024 yang berlangsung di universiti tersebut pada 23 Julai 2023.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA), Profesor Madya Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, proses pendaftaran dan kemasukan pelajar berjalan lancar dan tersusun seperti yang dirancang.
Katanya, seawal jam 7.30 pagi para pelajar bersama keluarga telah bersedia untuk sesi pendaftaran di pekarangan Kolej Kediaman dan disambut oleh para petugas.
Dr. Mohd Izani yang bersama-sama turun padang sempat beramah mesra dengan para pelajar dan ibu bapa serta turut meninjau suasana kemasukan di Kolej Kediaman.
Petugas UMT menunjukkan kediaman pelajar
Beliau mengharapkan para pelajar alam cepat untuk menyesuaikan diri dalam alam kampus dan dapat meneroka lebih banyak peluang dalam bidang kokurikulum bagi melahirkan pelajar yang bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik semata-mata malah dapat melahirkan graduan yang holistik serta bersedia untuk berada di alam pekerjaan kelak.
“Perkara yang membanggakan apabila maklum balas yang diterima daripada pelajar rata-rata menyatakan UMT adalah pilihan pertama mereka dan ini menggambarkan UMT menjadi pilihan utama untuk melanjutkan pelajaran,” ujarnya.
Sementara itu pelajar Asasi STEM, Loheedaj A/L Ajay, 18, yang berasal dari Pulau Pinang berkata keputusannya untuk menyambung pelajaran di UMT adalah pilihan yang tepat kerana ia merupakan impiannya sejak dahulu dan dia telah membuat kajian terperinci tentang jurusan yang ditawarkan di UMT.
Apatah lagi Loheedaj amat meminati bidang sains marin dan UMT antara universiti terbaik yang menawarkan jurusan tersebut.
Menurut rekod, seramai 366 pelajar baharu bagi program Diploma Perikanan dan Asasi STEM 2023/2024 yang mendaftar. Daripada jumlah itu seramai 294 pelajar Asasi STEM dan 72 pelajar Diploma Perikanan telah mendaftar masuk di UMT. - KiaReporters
Pelajar baharu Lohheedah A/L Ajay dari Pulau Pinang ditemani bapanya