Kampus & Pendidikan 25 Jul, 2024

Tahniah Prof Ts Dr Mohd Zamri! Dilantik jadi Naib Canselor UMT Keenam! 1 Ogos 2024 - 31 Julai 2026!

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.-komunitimadanijertih@gmail.com

Share this

 


TIMBALAN Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim dilantik sebagai Naib Canselor universiti itu yang keenam bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa bermula 1 Ogos 2024 hingga 31 Julai 2026. 

Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri, 53, berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dari University of Sunderland, United Kingdom pada tahun 1995, Ijazah Sarjana dari University of Warwick, United Kingdom pada tahun 1997 dan Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2006 dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.

Memulakan perkhidmatan di UMT sejak 1998 sebagai pensyarah muda.

Ketokohan dan bakat dalam bidang akademik terus menyerlah menyebabkan beliau diberi kepercayaan memegang pelbagai jawatan pentadbiran, antaranya Dekan Fakulti Sains dan Teknologi UMT pada tahun 2010; Pengarah Makmal Pusat UMT pada tahun 2012; juga sebagai Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan Kelautan dan Informatik UMT pada tahun 2019 sebelum dilantik sebagai Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT pada tahun 2020.


Dr Zamry Abd Kadir menyampaikan watikah perlantikan kepada Dr Mohd Zamri (tengah)


Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam satu kenyataaan memaklumkan pelantikan itu bagi menggantikan Prof Datuk Dr Mazlan Abd Ghaffar. 

Menteri Pendidikan Tinggi,  atuk Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir telah menyampaikan watikah pelantikan kepada Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim sebagai Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang ke-6 bagi tempoh dua (2) tahun berkuat kuasa 1 Ogos 2024 hingga 31 Julai 2026.

Penyerahan di pejabat Menteri turut disaksikan oleh Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof. Dr. Azlinda Azman.

Pelantikan beliau sebagai Naib Canselor UMT  dilihat bakal meneruskan agenda pemerkasaan UMT sebagai peneraju utama bidang ilmu kelautan dan sumber akuatik negara, sekali gus mampu memacu pembangunan ekonomi komuniti menerusi Dasar Ekonomi Biru (Blue Economy).


Dr Mazlan Abd Ghaffar


Dr Mohd Zamri turut merakamkan ucapan terima kasih dan syabas kepada mantan Naib Canselor UMT, Dr. Mazlan atas perkhidmatan dan sumbangan cemerlang beliau sepanjang menerajui UMT sebelum ini.

Mohd Zamri turut menyeru warga UMT agar sama-sama bergandingan bahu dalam meningkatkan lagi keterlihatan universiti pada persada antarabangsa serta meletakkan nama UMT sebaris dengan nama universiti terkemuka lain. - KitaReporters

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

10
13
0
12
0
You will be interested