Kampus & Pendidikan 13 Mar, 2024

Berita baik untuk peminat golf, boling! UPSI buka lapang sasar golf! Bakal ada pusat boling juga!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Nicholas Fung memperlihat kemahirannya membuat pukulan. 


WARGA Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim di Perak dan masyarakat boleh menggunakan Lapang Sasar Golf Banjaran UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City selepas Naib Canselor, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff merasmikannya pada 28 Februari 2024.

Prof Md Amin dalam ucapan perasmiannya, berkata lapang sasar yang siap sepenuhnya pada Disember 2023 itu bakal menjadi tumpuan peminat golf untuk memahirkan diri dalam sukan berkenaan. 

Dijenamakan sebagai ‘Driving Range Banjaran UPSI’, katanya, ia bakal menjanjikan satu tarikan yang mendamaikan jiwa dengan saujana mata memandang berikutan dilatari Banjaran Titiwangsa.

“Saya menjemput orang ramai memeriahkan lapang sasar golf 20 bay (ruang) ini yang dibuka setiap hari tanpa cuti bermula jam 10 pagi hingga 11 malam, kecuali Selasa sahaja bermula pukul 2 petang untuk memberi laluan kepada kerja penyelenggaraan,” katanya.


Prof Md Amin Md Taff (depan lima dari kanan) selepas merasmikan Lapang Sasar Golf Banjaran UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City.


Sempena perasmian, beberapa pempengaruh TikTok popular seperti Khalid Adnan atau lebih dikenali dengan nama GMK,  Khairul Naim Abg Koba, serta Andi Kecanduan Golf yang juga Presiden Golfer Marhain Malaysia berkampung berapa hari bagi membantu mempromosikan lapang sasar baharu itu.   

Hadir sama Pengerusi Lembaga Pengarah UPSI Holding Sdn Bhd (UHSB), Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Dr Abdul Rahim Razalli; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof Dr Norkhalid Salimin; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof Dr Suriani Abu Bakar; serta pemain golf profesional Malaysia, Nicholas Fung.


Beberapa pemain golf melakukan pukulan golf.


Pada hari sama, Prof Md Amin menyaksikan UHSB menandatangani perjanjian dengan Bumi Infra Khidmat Enterprise Sdn Bhd (BIKE) untuk mewujudkan sebuah Pusat Boling UPSI di Kampus Sultan Azlan Shah.

BIKE diwakili Pengarah Urusannya, Rosman Abu Samah manakala UHSB diwakili Pengurus Besar, Mohd Effendy Datuk Mohamad Zailani.

Mohd Effendy, berkata mengikut garis masa yang  dirangka pusat boling berkenaan bakal siap pada Jun 2024 ini dan akan beroperasi sepenuhnya pada penghujung Jun atau selewat-lewatnya pertengahan Julai 2024.

“Dengan terbinanya kemudahan sukan yang satu-satunya terdapat di Tanjong Malim ini, saya percaya pusat boling dengan kapasiti 24 lorong akan menjadi tumpuan warga UPSI khasnya dan warga Tanjong Malim amnya.

Beliau yang baru dilantik sebagai Pengurus Besar UHSB beriltizam menjayakan hasrat UPSI selaras dengan moto syarikat iaitu ‘Sinergi Sumber Kepakaran UPSI’ seterusnya membantu dalam apa jua perancangan dan pelaksanaan sepanjang bersama UHSB. - KitaReporters


Abdul Puhat Mat Nayan (lima dari kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Rosman Abu Samah (empat dari kanan) di Scholar’s Suites, UPSI Kampus Sultan Azlan Shah.  

11
14
0
9
0
You will be interested