Kampus & Pendidikan 22 Oct, 2025

Pendidikan Johor terus maju! 10 sekolah baharu diluluskan! Akan dibina mulai 2026 di bawah RMK-13!

@mohamed sa'ari
Minat bidang penulisan sejak di bangku sekolah. Masih proses belajar.

Share this

Johor terus menjadi tumpuan pembangunan pendidikan negara apabila 10 sekolah baharu bakal dibina di negeri itu bermula tahun depan (2026) di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).


Gambar Hiasan. Ruang bilik darjah yang tidak sempit akan memberi keselesaan kepada pelajar dan guru dalam proses P&P. Foto: Pendidik ku. 


Pengumuman berkenaan dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan Madani 2026 di Parlimen pada 10 Oktober lalu, sebagai sebahagian daripada inisiatif membina 38 sekolah baharu di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Tamin berkata, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada 18 permohonan yang telah dikemukakan kerajaan negeri kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).


Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, Aznan Taamin. - Kredit foto: The Sun.


"Projek berkenaan melibatkan pembinaan tiga sekolah rendah, enam sekolah menengah serta sebuah kompleks sekolah yang menggabungkan sekolah rendah dan menengah.

“Walaupun pembinaan dijadualkan bermula pada tahun 2026, setiap kelulusan tertakluk kepada penelitian agensi pusat serta kemampuan semasa Kerajaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan media pada 17 Oktober 2025 lalu.

Aznan menjelaskan, Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) melaksanakan pendekatan berasaskan data semasa dalam merancang keperluan sekolah baharu di negeri itu.


Gambar Hiasan. Bilangan murid yang kian bertambah setiap tahun memerlukan pembinaan sekolah baharu bagi menjamin pendidikan berkualiti. Foto:TVS


Katanya, setiap cadangan pembangunan sekolah yang dikemukakan oleh Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dibuat berdasarkan keperluan sebenar di kawasan masing-masing.

Antara faktor utama yang diambil kira termasuk kesediaan tapak atau tanah, kapasiti sekolah sedia ada di kawasan berhampiran serta kadar kepadatan murid.

JPNJ turut melaksanakan analisis terperinci berpandukan Garis Panduan Perancangan Kemudahan Masyarakat Bandar dan Desa, Semenanjung Malaysia yang diterbitkan oleh PLANMalaysia di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan pada tahun 2022.

Selain faktor fizikal, demografi penduduk, liputan kawasan tadahan serta perancangan pembangunan semasa dan masa depan turut dipertimbangkan dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan (PBT).


Gambar Hiasan... Suasana perssekitaran sekolah yang ceria dan selamat memberi semangat kepada warga sekolah melahirkan pelajar berkualiti. - Kredot foto: Facebook SK Pokok Sena.


Aznan berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap sekolah baharu yang dibina mampu memenuhi keperluan jangka panjang komuniti setempat.

Sekolah yang telah diluluskan ialah SK Taman Perling 4, SK Bukit Siput, SK Taman Setia Indah, SMK Taman Aspira dan SMK Laman Estuari di Johor Bahru.

Turut tersenarai ialah SMK Bandar Penawar 2 di Kota Tinggi, SMK Bandar Putra 3 di Kulai, SMK Cahaya Masai, SMK Taman Cendana serta Kompleks Sekolah Bandar Layangkasa, Johor Bahru.

"Pembinaan sekolah-sekolah baharu ini dijangka dapat menampung pertambahan jumlah murid di kawasan pesat membangun seperti Johor Bahru, Kulai dan Kota Tinggi.

"Langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh infrastruktur pendidikan, sekali gus memastikan akses pembelajaran berkualiti terus diperluas kepada semua rakyat," katanya. -KitaReporters


Gambar Hiasan. Golongan pelajar merupakan pemimpin dimasa akan datang memerlukan pendidikan sempurna teermasuk bangunan sekolah yang selesa dan selamat. - Ktedit Foto: MM Merbok Blogspot.

13
13
0
8
0
You will be interested