Kampus & Pendidikan 04 Jul, 2025

Mahu lahirkan banyak Abdul Rahman Auf, Khadijah Khuwailid! UIS mahu jadi universiti keusahawanan!

@roslan ibrahim
Meminati penulisan sejak di bangku sekolah. Selepas STPM, menyambung pengajian dalam bidang komunikasi massa di UiTM. Menjalani latihan praktikal di Utusan Malaysia selama 6 bulan, Wartawan Mingguan Kota, Majalah Ibu, Berita Harian dan Harian Metro. Selepas berhenti dari HM, menyertai NGO, Pertubuhan Kelestarian Ekosistem Alam (NEST) dan IKRAM. Kini bersama KitaReporter sejak September 2023. E-mel: roslan_616@yahoo.com

Share this

 


Dalam sejarah Islam, ada beberapa tokoh ahli perniagaan yang terkenal dengan sifat zuhud dan sentiasa mematuhi etika perdagangan yang berlandaskan syariat Islam. Antara sahabat Nabi SAW yang sangat kaya dan dermawan ialah Abdul Rahman bin Auf.

Seorang lagi ialah isteri Nabi Muhammad SAW, seorang ahli perniagaan wanita yang berjaya dan dihormati iaitu Khadijah binti Khuwailid.  

Memang sukar menjadi tokoh dan contoh usahawan Islam seperti mereka kerana dunia perniagaan banyak dicemari unsur riba, penipuan, penindasan dan manipulasi harga. 

Justeru, perlu ada sebuah institusi yang menggerak ke arah keusahawanan Islam bagi mengembalikan kegemilangan Islam zaman Rasulullah SAW.


UIS menyediakan penginapan yang selesa bagi memastikan suasana pembelajaran yang kondusif.


Naib Canselor Universiti Islam Selangor (UIS), Prof Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah berkata, pihaknya memang ada perancangan menjadikan UIS universiti keusahawanan pertama di Malaysia bagi memperkasa pelajar dengan ilmu syariah.

Beliau berkata, melalui agenda itu, pelajar UIS diajar ilmu-ilmu perniagaan yang disaran dalam al-Quran selain menetapkan acuan yang kukuh apabila mereka keluar dan menjadi usahawan di lapangan.

"Matlamat kami ialah melahirkan seorang usahawan dalam setiap keluarga pelajar, semoga mereka menjadi kumpulan yang dapat membangunkan ummah melalui konsep perniagaan yang diredai Allah dan Islam.


Dr Mohd Farid Ravi Abdullah


"Antara bidang keusahawanan yang boleh mereka ceburi ialah teknologi Kenderaan Elektrik (EV) kerana ia antara prospek perniagaan menguntungkan untuk tempoh jangka panjang. 

"Dalam keadaan dunia yang tidak menentu dan kenaikan harga minyak, perniagaan berasaskan EV mempunyai nilai pasaran yang tinggi di Malaysia.

"Melalui kerjasama dengan industri, pelajar jurusan pengurusan atau diploma kewangan amat sesuai menjadi usahawan Islam dalam bidang ini kerana bukan semua lulusan UIS akan menjadi ustaz atau pensyarah," katanya.      

Selari dengan matlamat itu, UIS giat memberi fokus kepada bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Halal dan TVET Tahfiz. Ia sebagai menyokong saranan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi yang mahu melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi.

"TVET Halal dan TVET Tahfiz juga diharap dapat menyediakan peluang kepada pelajar untuk pekerjaan yang lebih cepat selain mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.


Dr Mohd Farid bergambar kenangan dengan sebahagian wakil media selepas mengadakan sidang akhbar.


"UIS turut diberi tanggungjawab mengendalikan bandar ilmu, bukan sekadar pengajian Islam tapi lebih kepada latihan yang boleh disediakan untuk ibu-ibu tunggal dan mereka yang berbakat.

"Kerajaan negeri menganugerahkan dana RM2 juta kepada UIS untuk projek berterusan, justeru kami mahu menggunakan sepenuhnya universiti ini bukan sekadar mengajar tapi ada manfaat boleh dinikmati masyarakat," katanya.

Katanya, UIS mempunyai pusat khas yang memberi fokus kepada latihan dalam bidang TVET halal termasuk kewangan Islam, kajian hadis, pengajian bahasa Arab, teknologi dan maklumat selain tempat bagi mengendalikan latihan di kampung-kampung Orang Asli di Selangor.

Ditanya kebolehpasaran pelajar UIS, katanya 85 peratus lulusan universiti itu mendapat pekerjaan selepas tiga bulan graduasi dan angka itu dijangka meningkat apabila kerajaan negeri memberi inisiatif penajaan khas kepada anak-anak Selangor yang mengikuti pengajian di universiti itu. - KitaReporters

15
9
0
16
0
You will be interested