Kampus & Pendidikan 11 Aug, 2023

Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia! Ikon UUM, TVET jadi panel! Lahirkan generasi muda Madani hebat!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Dua Ikon pelajar masing-masing dari Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Saniy Samsudin dan lepasan Kolej Vokasional, Mohamad Shahrul Yusoff dari Perak dijemput sebagai panel Program Pembinaan Karakter Bangsa Malaysia.

Program yang dilaksanakan oleh Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan (KPM) ini dirasmikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pada 10 Ogos 2023 di Ellisa Garden, Titi Gajah, Alor Star.


Pengarah Pendidikan Perlis, Naharudeen Othman yang sepentas dengan ikon pelajar ini dihadiri lebih 500 pelajar tingkatan enam, matrikuliasi, Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) dan Kolej Vokasional.

Moga program bagi memupuk karakter bangsa Malaysia berteraskan patriotism, kepimpinan dan tanggungjawab sosial ini mencapai matlamat penganjuran selaras dengan usaha Kerajaan Malaysia Madani untuk melahirkan generasi muda Madani yang hebat pada masa depan.
Ketiga-tiga panel ini berkongsi pandangan mereka mengenai nilai kemampanan, kesejahteraan, berdaya cipta, hormat, berkeyakinan dan ihsan.


Sementara itu Muhammad Saniy yang baru sahaja pulang dari Amerika Syarikat setelah menyertai program bersama-sama pemimpin belia dari Brunei, Myanmar, Kemboja, Indonesia, Laos, Filipina, Singapura, Thailand, dan Vietnam turut berkongsi mengenai peluang yang diberikan kepadanya untuk berbincang dan mengkaji perkembangan, sejarah, cabaran dan kejayaan perusahaan dan pemimpin masyarakat di Amerika Syarikat serta pada peringkat global.
“Sesungguhnya pelajar sekolah harian biasa juga boleh meraih kecemerlangan sekiranya memfokuskan keberhasilan yang mencakupi kepelbagaian kompetensi dengan menekankan keterangkuman unsur karamah insaniah iaitu karakter, kompetensi dan indikator,” sambung bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Pulau Nyior, Jitra.
Ikon jemputan KPM ini juga adalah belia tajaan program Jabatan Negara Amerika Syarikat, Pembentang Kertas Kerja Terbaik bertajuk Krisis Ekonomi Global yang disertai 40 perwakilan antarabangsa dari 58 negara, Pemenang Kluster Kepimpinan Pelajar; Anugerah kepimpinan Kolej Kediaman Terbaik sempena majlis Anugerah Tokoh Siswa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan anugerah-anugerah lain baik pada peringkat antarabangsa ataupun negara.


Manakala pelajar lepasan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET), Mohamad Shahrul Yusoff berkongsi kejayaannya membuka perniagaan sendiri selepas tamat pengajian.
“Walaupun saya tidak melanjutkan pengajian pada peringkat Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan lepasan TVET dalam bidang rambut tetapi berbangga kerana saya kini memiliki tiga cawangan salon gunting rambut hasil dari pengajian di Kolej Vokasional,” sambungnya lagi.


Program Pembinaan Karakter Bangsa merupakan satu inisiatif penting dalam membina moral yang berkonsep terhadap Anak Baik lagi Cerdik (ABC) dalam melahirkan generasi bijak pandai dan mempunyai sahsiah diri yang baik.
Program tersebut termasuk dalam inisiatif Pelan Pembangunan Pendidikan Negara dan sebahagian inisiatif yang menghimpunkan mereka (pelajar lepasan menengah) dalam satu program untuk memastikan perbincangan yang berlaku berkait rapat dengan pembinaan karekter bangsa yang melibatkan pelajar Tingkatan Enam, Institusi Pendidikan Guru, Kolej Matrikulasi dan Kolej Vokasional tahun 2023 di negeri Selangor, Kedah dan Pulau Pinang. - KitaReporters

17
11
0
9
0
You will be interested