Kampus & Pendidikan 25 Sep, 2023

UUM, Cisco Systems teroka peluang bekerjasama! Makmal Cisco Systems mudahkan graduan UUM dapat kerja!

@nur sabrina samsudin
Bergiat cergas dalam bidang kewartawanan sejak dibangku sekolah lagi. email:[email protected]

Share this

Taklimat mengenai perisian Cisco Systems.


Universiti Utara Malaysia (UUM) meneroka peluang untuk bekerjasama dengan Cisco Systems dengan tujuan mengubah suai landskap pendidikan tinggi, penyelidikan, dan infrastruktur rangkaian komputer di kampus.

Naib Canselor UUM, Prof Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, komitmen terhadap inovasi, keunggulan teknologi, dan tanggungjawab sosial korporat yang konsisten ini pastinya dapat diperkukuh melalui kerjasama ini.

"Untuk mencapai objektif ini, saya yakin pengalaman dan kepakaran Cisco dalam teknologi rangkaian mereka akan membolehkan kita untuk memoden dan meningkatkan infrastruktur rangkaian komputer di universiti," katanya selepas lawatan ke pejabat Cisco System di Pulau Pinang pada 22 September 2023.


Raja Farhana Raja Nong Chik (kiri) dalam sesi bersama delegasi UUM.


Dalam perbincangan bersama Country Manager Cisco Malaysia, Raja Farhana Raja Nong Chik, kedua-dua belah pihak bersetuju untuk berkolaborasi dalam aktiviti yang akan meningkatkan pendidikan dan penyelidikan ke tahap yang lebih tinggi, dengan fokus khusus pada infrastruktur rangkaian komputer.

Kerjasama ini bertujuan untuk merangsang inisiatif penyelidikan yang mengisi jurang antara akademik dan industri. 

Hasil perbincangan tersebut, pihak Cisco Malaysia juga secara dasarnya bersetuju untuk membantu UUM membangunkan Makmal Latihan Rangkaian Komputer UUMIT.

Sementara itu, dalam hal penglibatan dan pembelajaran pelajar, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama bagi memastikan graduan UUM tidak hanya cemerlang dalam akademik tetapi juga bersedia untuk bergabung dengan industri, kerana mereka akan dilengkapi dengan kemahiran yang sesuai dengan pasaran kerja melalui pembangunan Makmal Cisco System untuk perkembangan kerjaya pelajar di Pusat Pengkomputeran UUM.

Dr. Mohd Foad berkata, kemunculan 5G, Internet of Things (IoT), dan permintaan terhadap Pembelajaran dan Pengajaran (PdP) yang semakin meningkat, adalah penting bagi universiti ini untuk dilengkapi dengan penyelesaian rangkaian komputer bertaraf dunia yang stabil.


Prof Dr. Mohd Foad Sakdan menyampaikan cenderamata kepada Raja Farhana Raja Nong Chik.


"UUM juga akan berkongsi manfaat kepada masyarakat dengan memperluas akses, sekali gus menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi di kawasan sekitar," tambahnya. 

Menurutnya, peluang pembelajaran global ini dapat membuka pintu untuk kerjasama antarabangsa, program pertukaran, penyelidikan, dan memberikan faedah kepada semua warga kampus dalam bidang rangkaian komputer pada masa akan datang.

UUM telah melabur dengan kos yang besar dalam teknologi Cisco, dengan projek infrastruktur rangkaian komputer yang bermula sejak tahun 2008, dengan kos keseluruhan melebihi RM20 juta sebelum ini.

Dr Mohd Foad juga berharap kerjasama ini dapat memperkuat komitmen bersama terhadap kemajuan teknologi, pemantapan penyelidikan, dan inovasi dalam pendidikan. - KitaReporters


14
10
0
10
0
You will be interested