Kampus & Pendidikan 16 Dec, 2022

Tahniah! Majlis Konvokesyen USIM ke-20 rai 2,955 graduan! Tema Graduan Cemerlang, USIM Disayangi

@strategic communication centre (stracomm) usim
Pusat Komunikasi Strategik ( StraComm) merupakan pusat informasi rasmi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Sebarang pertanyaan boleh emelkan kepada prousim@gmail.com

Share this


Seramai 2,955 graduan diraikan pada Majlis Konvokesyen Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kali ke-20 yang diadakan pada 13 hingga 15 Disember 2022. 

Bertemakan “Graduan Cemerlang, USIM Disayangi” sudah pastinya melakarkan detik sejarah kepada para graduan yang telah menamatkan pengajian dengan jayanya pada semua peringkat pengajian.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan majlis konvokesyen


Pada majlis ini, Tuanku Canselor USIM, Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud telah berangkat mencemar duli bagi mengisytiharkan majlis konvokesyen tersebut dan seterusnya berkenan untuk menganugerahkan ijazah kepada para graduan. 

Pada Majlis Konvokesyen kali ini turut menyaksikan pengurniaan Ijazah Kehormat, pengurniaan gelaran Profesor Emerita dan penganugerahan anugerah kecemerlangan akademik.

Ijazah Kehormat (Doktor Falsafah) Alam Bina telah dianugerahkan kepada Dato’ Ar. Hajeedar Abdul Majid, manakala bagi Ijazah Kehormat (Sarjana) Pengajian Quran dan Sunnah dianugerahkan kepada Jalaluddin Hassanuddin.

Turut menerima penganugerahan adalah dua tokoh akademik USIM, iaitu Profesor Dr. Hayati Abd Rahman, Felo Akademik dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Profesor Dato’ Dr. Roshada Hashim, Karyawan Tamu Fakulti Sains dan Teknologi bagi penganugerahan yang membawa gelaran Profesor Emerita.



Majlis yang berlangsung selama tiga hari yang melibatkan enam sidang ini turut menyaksikan pengurniaan Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada Anis Syahira Suhaimi, graduan dari Fakulti Sains dan Teknologi, pengkhususan dalam bidang Sains Komputer (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), serta Syed Firdaus Iqmal Syed Zahir, graduan dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat, pengkhususan dalam bidang Perbankan dan Kewangan Islam di peringkat Sarjana Muda.

Bagi Anugerah Canselor, penerimanya adalah Muhammad Hasiff Che Yusoff graduan program Sarjana Muda Perubatan dan Surgeri, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Muna Jawad Salman, bagi program Doktor Falsafah dalam bidang Pengurusan Sumber Manusia dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan.

Manakala bagi penerima Anugerah Lembaga Pengarah Universiti, dianugerahkan kepada Zahidah Mohd Abdul Raushin, graduan Sarjana Muda Sains Komputer dengan Kepujian (Keselamatan dan Jaminan Maklumat), Fakulti Sains dan Teknologi dan penerima Pingat Emas Naib Canselor adalah Danish Akmal Kamal Aris, graduan Sarjana Muda Sains Seni Bina dengan Kepujian, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina.



Menurut Pengarah Pusat Komunikasi Strategik USIM, Dr. Hammad Farhi Mohd Saudi, sejak Konvokesyen kali pertama pada tahun 2003, USIM telah melahirkan seramai 31,449 alumni. 

Berpaksikan moto Berilmu, Berdisiplin dan Bertakwa, USIM terus bergerak secara progresif dan proaktif sebagai sebuah universiti yang terkehadapan dalam mengaplikasikan pengintegrasian Ilmu Naqli dan Aqli dalam kurikulumnya, seterusnya melahirkan graduan yang berdaya saing dan kompetitif dalam era globalisasi.

Pihak Universiti merakamkan sekalung penghargaan dan ucapan tahniah kepada para graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya. Kejayaan ini turut didedikasikan kepada ibu bapa, ahli keluarga, penjaga, para pentadbir dan pendidik serta seluruh warga USIM yang ikhlas memastikan para graduan menjadi insan berilmu, mengisi ruang dan pelusuk ketamadunan ummah supaya menjadi insan terbaik yang dibanggakan. - KitaReporters/USIM


12
7
0
14
0
You will be interested