Kampus & Pendidikan 03 May, 2021

Berita Terkini| 16k pelajar UiTM semua kampus balik raya! Guna 200 kenderaan pelbagai jenis!

@news editor 1
Semua kenyataan media/press releases boleh di emel ke editor@reporters.com

Share this


KIRA-KIRA 16,000 mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) di semua kampus dijangka pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri.

Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UiTM Shah Alam berkata, lebih 200 unit kenderaan pelbagai jenis, terdiri daripada bas, kenderaan pelbagai guna (MPV) dan kereta disediakan untuk melancarkan Ops Pulang Aidilfitri berkenaan.

Pergerakan pulang dengan mematuhi segenap prosedur operasi standard (SOP) oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) itu bakal membabitkan keseluruhan 30 kampus UiTM serta lebih 700 kakitangan.

"Agihan bilangan kenderaan diperlukan di setiap kampus mengikut zon akan ditentukan dalam masa terdekat selepas semua pelajar melengkapkan borang soal selidik yang diedarkan.

"Penghantaran pulang akan bermula pada 7 Mei (2021) manakala penghantaran terakhir ialah pada 12 Mei dan UiTM akan menggerakkan semua jentera pengurusannya daripada yang tertinggi dan pelbagai jabatan dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar serta Jawatankuasa Perwakilan Kolej.

"Ini bagi menjamin kelancaran operasi, mematuhi SOP KKM dan MKN, selain memastikan semua pelajar sampai ke destinasi dengan selamat,” ujarnya dalam kenyataan media pada Isnin, 3 Mei 2021.

Pada 29 April 2021 lalu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) memaklumkan lebih 100,000 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) di seluruh negara dibenarkan pulang ke kampung sempena cuti Aidilfitri kecuali Sarawak.

Menerusi kenyataan dikeluarkan oleh KPT, pergerakan mahasiswa di setiap IPT akan dilaksanakan secara berfasa-fasa bagi memastikan pergerakan terkawal, dengan tarikh pergerakan pulang ke rumah masing-masing ditetapkan mulai 7 hingga 12 Mei 2021 manakala tarikh kembali ke kampus bermula 15 hingga 20 Mei 2021.

Penuntut IPT bagaimanapun diberi pilihan sama ada untuk pulang ke kampung masing-masing sempena cuti Aidilfitri atau kekal tinggal di kampus.

Kenyataan Pejabat Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar itu menyebut, pelajar yang memilih untuk terus tinggal di kampus akan disantuni sebaik mungkin supaya suasana Aidilfitri turut diraikan bersama-sama. - KitaReporters


Lagi berita-berita terkini dalam KitaReporter

0
1
3
0
0
You will be interested