Kampus & Pendidikan 10 Apr, 2021

APMM sumbang dua bot nelayan Vietnam kepada UMT! Untuk dijadikan tukun tiruan, lokasi latihan

@mohammad ishak
Bekas penulis Kumpulan NSTP selama 35 tahun sebelum bersara pada Oktober 2018 dan berkhidmat di Terengganu. Pernah membongkar peristiwa sembahyang dua imam dalam satu kampung di Daerah Besut selain perkampungan Kerajaan Langit Ayah Pin.Menyertai Kitareporters Feb 2019.

Share this

Bot nelayan Vietnam yang dilucutkan hak oleh mahkamah dilabuhkan di perairan Pulau Bidong, Terengganu untuk dijadikan tukun tiruan. - Kredit gambar: Media Kreatif UMT


Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dengan kerjasama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) meningkatkan aktiviti penyelidikan sains maritim dengan melabuhkan bot untuk dijadikan tukun tiruan di perairan Pulau Bidong, Terengganu.

Menerusi program itu, APMM menyumbangkan dua bot nelayan Vietnam untuk dijadikan tukun tiruan bagi proses pendidikan kepada pelajar universiti tersebut.

Dua bot berkenaan dilupuskan sebagai tukun tiruan pada kedalaman 13 hingga 15 meter dari permukaan laut dan jarak antara 500 hingga 600 meter dari Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT di Pulau Bidong.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan UMT


Saiful Lizan Ibrahim


Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda (M) Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, bot berkenaan adalah bot nelayan asing Vietnam yang ditahan serta dilucut hak oleh mahkamah sepanjang 2020 atas kesalahan menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara.

Katanya, penyerahan bot bagi tujuan penyelidikan itu pertama kali dilaksanakan serta merupakan simbolik hubungan strategik dua hala antara Maritim Malaysia Terengganu dan UMT.

Beliau berkata, usaha itu merupakan inisiatif bagi memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin serta menjadi komitmen Maritim Malaysia dalam mengekang pencerobohan nelayan asing di perairan negara.


Proses melabuhkan bot Vietnam sebagai tukun tiruan untuk penyelidikan sains maritim pelajar UMT


"Ia juga sebagai isyarat tegas kerajaan dalam memelihara kedaulatan perairan negara dan memastikan sumber perikanan terus terpelihara," katanya selepas program melabuhkan tukun kapal lucut hak sumbangan Maritim Malaysia Terengganu bagi aktiviti penyelidikan UMT di perairan Pulau Bidong pada Khamis 8 April 2020.

Saiful Lizan berkata, proses pelupusan itu adalah kali kesembilan dilakukan tahun 2021 ini dan dijangka 38 buah bot lagi akan ditenggelamkan sepanjang tahun ini (2021) setelah mendapat perlucutan hak mahkamah.

Beliau berkata, proses pelupusan bot tersebut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia, Persatuan Nelayan Kuala Terengganu Utara dan Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT)

Sehingga kini, katanya, sebanyak 104 bot dengan anggaran nilai RM156 juta telah ditenggelamkan untuk dijadikan tukun di sepanjang perairan Terengganu. 


APMM menyumbangkan dua bot nelayan asing sebagai tukun tiruan kepada UMT


Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Profesor Ts. Dr Mohd Zamri Ibrahim berkata, pelabuhan tukun vessel di perairan Pulau Bidong bagi membolehkan pelajar dan penyelidik UMT menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran berkaitan sumber perikanan serta aspek sains marin. 

Katanya, UMT turut berbincang bersama Jabatan Warisan Negara di mana ia merupakan entiti penting di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) untuk menjadikan kawasan tukun itu sebagai lokasi latihan bagi kajian arkeologi bawah tanah.

"Sekiranya berjaya, ia menjadi lokasi latihan pertama seumpamanya di Malaysia,” katanya.

Selain itu, katanya, UMT juga harap program ini dapat meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap alam sekitar dalam mengekalkan kelestarian sumber perikanan negara yang amat mencabar ketika ini. - KitaReporters


Bot nelayan Vietnam yang dilucutkan hak oleh Mahkamah dijadikan tukun tiruan untuk pendidikan sains maritim pelajar UMT

 

3
1
0
0
1
You will be interested