Kampus & Pendidikan 13 Oct, 2020

Kerjasama UiTM Jengka - Grab Car! Sediakan e-hailing selamat

@haris fadilah ahmad
Pernah bertugas sebagai 'stringer' Utusan Malaysia dan Utusan Melayu (Jawi) mulai 1987 hingga Oktober 2019.

Share this

BAGI kebanyakan mereka yang pernah bergelar sebagai penuntut atau mahasiswa institut pengajian tinggi awam (IPTA) atau sinonimnya dengan sebutan universiti, bergerak dari satu tempat ke satu tempat yang lain khusus tempat kuliah menjadi penting, apatah lagi bagi mereka yang tiada mod pengangkutan : KitaReporters

Gambar hiasan... Sebahagian penuntut sedang menghadapi kuliah di universiti, yang mana ketepatan waktu antara elemen penting untuk jaminan kejayaan bergelar siswazah. - Kredit foto: madeinuitm.com


Memandangkan ramai mahasiswa menetap di luar kampus, elemen pengangkutan menjadi aspek utama bagi senantiasa menepati jadual tiba di bilik kuliah, seminar, aktiviti kampus dan sebagainya. 

Selain itu, bukan semua pelajar yang menginap di hostel kampus mempunyai kenderaan sendiri, malahan sebilangan besar tidak mempunyai kemudahan pengangkutan seperti kereta dan motosikal untuk keluar ke bandar bagi urusan tertentu mahupun bergerak di sekitar dalam kampus.

UiTM Cawangan Pahang Kampus Khazanah Alam Jengka atau lebih dikenali sebagai Kampus Jengka terletak di Bandar Pusat Jengka, Maran. - Kredit foto: FB UiTM Cawangan Pahang


Bagi IPT yang cawangan kampusnya terletak di bandar kecil sudah tentulah bagi penuntut yang tidak ada kenderaan sendiri berdepan kesukaran pengangkutan setiap kali mahu berurusan di luar atau hadir ke kuliah selain jaminan keselesaan serta keselamatan untuk pergi ke sesebuah tempat.

Sehubungan itu, Universiti Teknoloji Mara (UiTM) Cawangan Pahang Kampus Jengka, Maran telah mendepani usaha menjaga kebajikan warga kampus yang terletak di pekan kecil Bandar Tun Razak (Bandar Pusat Jengka) dengan merintis satu lagi fenomena anjakan kecekapan perhubungan awam baharu, iaitu perkhidmatan e-hailing Grab Car.

PROF. DR. MOHD ILHAM ADENAN


Rektor UiTM Cawangan Pahang, Prof. Dr. Mohd Ilham Adenan berkata, UiTM Cawangan Kampus Jengka yang mempunyai hampir seramai 6,000 orang mahasiswa dan kakitangan memerlukan perkhidmatan Grab Car yang lebih selamat, cekap dan menepati masa bagi memenuhi ketetapan waktu pejabat, kuliah mahupun urusan keluar kampus.

"Majoriti mahasiswa tinggal di dalam kampus tiada mempunyai kenderaan sendiri untuk keluar ke bandar terdekat bagi berbelanja atau urusan tertentu termasuk ketika mereka pulang dan balik dari kampung.

"Jadi, mahasiswa tidak perlu lagi risau apabila ketiadaan bas atau teksi kerana hanya melalui aplikasi telefon pintar pemandu Grab Car sedia memberikan perkhidmatan pada bila-bila masa," katanya.

Dr. Mohd Ilham berkata demikian ketika berucap melancarkan Perkhidmatan e-Hailing Grab Car di lobi Bangunan Pentadbiran UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, Maran baru-baru ini.

Majlis ini yang dianjurkan oleh Pejabat Polis Bantuan turut dihadiri oleh Pengurus Bandar Grab Wilayah Pantai Timur, Azraie Azhari dan Pegawai Keselamatan Kanan UiTM Cawangan Pahang, ASP/PB Mohd Izani Daud.  

Prof. Dr. Mohd Ilham Adenan (berdiri di depan) sedang berucap ketika melancarkan Perkhidmatan e-Hailing Grab Car di lobi Bangunan Pentadbiran UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka, Maran baru-baru ini. - Kredit foto: FB UiTM Cawangan Pahang


Dalam pada itu, Dr. Mohd Ilham berkata, pihak pengurusan universiti tiada menghalang mahasiswa yang ingin bekerja separuh masa sebagai pemandu Grab Car untuk menambah wang saku, tetapi dengan syarat tidak mengabaikan pelajaran serta memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Mahasiswa boleh berperanan sebagai pemandu Grab Car bagi tujuan sumber wang saku tambahan semasa di dalam kampus dengan menghantar rakan menghadiri kuliah, menyertai program akademik dan aktiviti luar," katanya.

Prof. Dr. Mohd Ilham Adenan (kanan) bersama Azraie Azhari memegang logo Grab x selepas selesai pelancaran Perkhidmatan e-Hailing Grab Car. - Kredit foto: Kredit foto: FB UiTM Cawangan Pahang 


Prof. Dr. Mohd Ilham Adenan (lima dari kanan) bersama Azraie Azhari (tujuh dari kiri) bersama kakitangan UiTM  memegang pemidang logo Grab x selepas selesai pelancaran Perkhidmatan e-Hailing Grab Car. - Kredit foto: FB UiTM Cawangan Pahang  


Sementara itu, Azraie memberikan jaminan perkhidmatan Grab Car selamat dan cekap malahan satu-satunya syarikat di Malaysia yang mengambil langkah inklusif dalam menyaring setiap orang pemandu sebelum mereka boleh menyertai perkhidmatan tersebut.  

"Para pelanggan hanya perlu mengisikan informasi dan lokasi tujuan ke dalam aplikasi telefon pintar. Pelanggan juga tidak perlu untuk keluar mencari teksi dan hanya perlu menunggu di rumah atau hotel di kampus untuk melakukan tempahan," katanya.

AZRAEI AZHARI - Pengurus Bandar Grab Wilayah Pantai Timur.


Aplikasi Grab menerusi dalam talian untuk tempahan Grab Car bila-bila dan ke mana sahaja. - Kredit foto: Kredit foto: FB UiTM Cawangan Pahang  


Azraie berkata, penumpang wanita juga mempunyai banyak pilihan perkhidmatan Grab Car yang dikendalikan (dipandu) oleh wanita kerana perkhidmatan pengangkutan ringan itu ini telah banyak didominasi ramai pemandu golongan tersebut.

"Senario ini sekali gus menghapuskan kebimbangan terhadap keselamatan atau risiko kejadian jenayah yang sering menghantui fikiran mereka (wanita) ketika menggunakan perkhidmatan Grab Car atau kereta sewa lain," katanya.

MUHAMAD MUZAFAR IBRAHIM


Sementara itu, bagi Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM Cawangan Pahang, Muhamad Muzafar Ibrahim pula berkata, perkhidmatan Grab Car merupakan satu keperluan utama penuntut pada masa ini lebih lagi mereka yang tiada mempunyai kenderaan sendiri khususnya dalam kalangan wanita. 

"Keselesaan perkhidmatan ini boleh digunakan berasaskan 'on demand' dengan lokasi yang tiada had jarak atau sempadan menjadikan Grab Car merupakan pilihan nombor satu bagi penuntut di kampus yang kebanyakannya bergantung kepada pengangkutan awam.

"Selain dilengkapi dengan ciri keselamatan dan perhubungan, Grab Car juga mempunyai kelebihan, iaitu memberikan mata ganjaran kepada pengguna serta menambah impak positif keistimewaan kemudahan ini terhadap kebajikan penuntut kampus," katanya.

MOHD RISHAM JAAFAR


Dalam perkembangan yang sama, Koordinator Unit Komunikasi Korporat UiTM Cawangan Pahang, Mohd Risham Jaafar berkata, keputusan pihak pengurusan UiTM Cawangan negeri ini membenarkan kemasukan Perkhidmatan e-Hailing Grab Car sangat tepat dan signifikan bagi kemudahan penuntut kampus tersebut.

Katanya, sebelum ini Grab Car tidak dibenarkan masuk ke dalam kampus mengambil dan menurunkan penumpang, manakala selepas pelancaran ini bermulalah perkhidmatan pengangkutan itu di dalam kampus, iaitu di lokasi yang telah ditetapkan oleh pentadbir.

"Pertambahan bilangan penuntut dan ledakan penggunaan e-Hailing secara dalam talian ini amat diperlukan oleh warga kampus Khazanah Alam Jengka (Kampus Jengka) untuk bergerak masuk dan keluar bagi urusan tertentu selain daripada kemudahan hadir kuliah. 

"Pihak pengurusan juga membenarkan kakitangan universiti ini serta juga penuntut menyertai perkhidmatan ini sebagai pemandu Grab Car dan sudah tentulah bermanfaat bagi mereka memperoleh pendapatan tambahan masing-masing," ujarnya. - KitaReporters

Kakitangan pentadbiran UiTM Cawangan Pahang Kampus Jengka dan pegawai keselamatan 'berganding bahu' dalam aspek pengangkutan serta kebajikan penuntut menerusi pelancaran perkhidmatan e-Hailing Grab Car baru-baru ini. - Kredit foto: FB UiTM Cawangan Pahang

1
0
0
0
0
You will be interested