Global Conference on Business and Economics Research (Persidangan Global mengenai Penyelidikan Perniagaan dan Ekonomi atau GCBER) 2025 anjuran Sekolah Perniagaan dan Ekonomi (SBE), Universiti Putra Malaysia (UPM) membuka tirainya pada 27 September 2025 lalu dengan memberi tumpuan kepada kepentingan kerjasama global dalam melonjakkan inovasi serta pertumbuhan ekonomi mampan di rantau ASEAN.


Bertemakan “Empowering ASEAN’s Prosperity: A Global Partnership for Business Innovation and Sustainable Growth”, persidangan dua hari di The Everly Hotel, Putrajaya ini menghimpunkan ahli akademik, penggiat industri, pembuat dasar dan penyelidik dari dalam serta luar negara.
Ucapan utama telah disampaikan oleh Profesor Adjung SBE UPM, Dato’ Zuraidah Atan yang menegaskan ASEAN memiliki potensi besar sebagai kuasa ekonomi rantau ini, namun manfaatnya hanya dapat dimaksimumkan melalui perkongsian global, tadbir urus kukuh serta penekanan kepada budaya inovasi dan kelestarian dalam strategi pembangunan.
Sebahagian peserta yang terdiri daripada ahli akademik, penggiat industri dan pembuat dasar yang menghadiri Persidangan GCBER 2025.

Beliau turut menekankan bahawa dunia perniagaan masa kini menuntut kemampuan menyesuaikan diri dengan teknologi baharu termasuk kecerdasan buatan (AI), pendigitalan serta pendekatan mesra alam dalam model perniagaan.
Persidangan ini turut menampilkan sesi “Connect 2 Success – Industry Network” yang memberi ruang kepada pemain industri dan tenaga akademia membina rangkaian strategik.


Persidangan ini dirasmikan oleh Dekan SEB UPM, Prof. Dr. Bany Ariffin Amin Noordin juga selaku penganjur program.
GCBER 2025 yang berlangsung pada 27 dan 28 September 2025 ini kemudian menghasilkan resolusi bersama yang boleh dijadikan rujukan dalam memperkukuh pembangunan ekonomi ASEAN secara mampan. - KitaReporters
