

Tahniah dan syabas kepada UiTM kampus Merbok, cawangan Kedah! Berjaya mengumpulkan sebanyak 87 beg darah sempena kempen derma darah UiTM yang bertemakan 'UiTM Heart Beat: Nationwide Blood Drive for a Better Tomorrow'. (Degup Jantung UiTM: Kempen Darah Seluruh Negara bagi Masa Depan Lebih Baik).
Kempen yang telah diadakan sempena Hari Derma Darah Sedunia peringkat UiTM cawangan Kedah pada 16 Jun 2025 itu bermula seawal 10 pagi dan berakhir pada jam 5 petang, yang berlangsung dengan penuh semangat kebersamaan dan keprihatinan.
Lobi bahagian Hal Ehwal Pelajar menjadi lokasi program sambil dibantu oleh petugas dari Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan Pusat Darah Negara.

Menurut laman web rasmi Majlis Keselamatan Negara 1 beg darah mampu menyelamatkan 3 nyawa. Sehubungan itu dengan kejayaan UiTM Merbok mengumpulkan sebanyak 87 beg darah, ia ternyata mampu menyelamatkan lebih dari 260 nyawa.
Sebetulnya derma darah mempunyai kuasa untuk selamatkan tiga nyawa sekali gus kerana darah sememangnya diperlukan untuk pesakit apabila mereka menjalani pembedahan atau rawatan yang menyelamatkan nyawa, terutama bagi pesakit trauma atau mereka yang hidup dalam keadaan kronik seperti kanser.
Hari Derma Darah Sedunia pula jatuh pada 14 Jun setiap tahun.


Inisiatif yang diambil oleh UiTM Merbok membuktikan komitmen institusi pengajian tinggi tersebut terhadap tanggungjawab sosial dan pembinaan komuniti yang prihatin dan berkemanusiaan.
Malah kampus ini memperlihat ia berupaya sebagai platform kebajikan mahupun projek kemanusiaan kerana setitis darah mampu memberi harapan kepada mereka yang memerlukan.
Program derma darah kali ini amat membanggakan kerana ia bukan saja melibatkan penderma dalam kalangan mahasiswa tetapi juga staf UiTM Merbok cawangan Kedah serta orang awam.
Turut hadir memberi sokongan pada semua penderma darah ialah Rektor UiTM cawangan Kedah, Profesor Dr Roshima Said. - KitaReporters


Kempen derma darah perdana UiTM Merbok diadakan di lobi Bahagian Hal Ehwal Pelajar pada 16 Jun 2025.