Kampus & Pendidikan 29 Oct, 2024

Usaha celik STI! Program AI 4 Belia budayakan AI dalam kalangan belia! Kerjasama UPSI, MOSTI, Pixlr!

@rosdi ismail
Berpengalaman sebagai pemberita bersama Berita Harian (BH) bermula pada tahun 1985 hingga 2017. Pada tahun 1991, diserapkan dalam unit penyunting BH di Bangsar, Kuala Lumpur. Kemudian, pada tahun 1997 dipindahkan ke unit pendidikan BH sebagai penyunting

Share this

Chang Lih Kang menyampaikan ucapan perasmian Program Artificial Intelligence (AI) 4 Belia.


PENGANJURAN program AI 4 Belia (AI untuk Belia) memberi peluang kepada golongan belia untuk membudayakan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) terutama penggunaan Artificial Intelligence atau Kecerdasan Buatan (AI) dalam kehidupan rakyat Malaysia. 

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Chang Lih Kang, berkata AI itu bukanlah satu terma baharu pada masa kini kerana segenap masyarakat dunia sedang berbicara mengenai betapa AI mengubah cara menjalani kehidupan, melaksanakan kerja seharian dan berinteraksi antara satu sama lain.

Menurutnya, MOSTI memiliki tanggungjawab untuk membangunkan dan melahirkan belia yang celik teknologi terutama teknologi AI.


Prof Md Amin Md Taff menyampaikan ucapan pada  majlis perasmian.


“Melalui program yang diadakan pada hari ini dengan kerjasama Syarikat Pixlr akan berupaya meningkatkan kesedaran belia mengenai kepentingan AI, menggalakkan penggunaan AI dan memperkasakan kemahiran belia dalam AI.

“Belia merupakan pelapis dalam membangunkan Malaysia pada masa akan datang, yang juga perintis kepada pekerjaan masa hadapan dalam bidang seperti Kejuruteraan Kecerdasan Buatan, Robotik, Ejen Keselamatan Maya (Cyber Security Agent), Teknologi Blockchain dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Artificial Intelligence (AI) 4 Belia yang diadakan di Dewan Sri Tanjung, Kampus Sultan Abdul Jalil Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak pada 26 Oktober 2024.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Setiausaha Bahagian Pembudayaan dan Perkhidmatan STI, MOSTI, Abdullah Daud; Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi) UPSI, Prof Dr Suriani Abu Bakar; CEO Pixlr Group, Warren Leow Jia En; Pegawai Lapangan Pejabat Daerah dan Tanah Muallim, Mohamed Ehsan Abdul Rashid serta  Dekan, Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi, Prof Madya Dr Ing Maizatul Hayati Mohamed Yatim.

Chang berkata, terma-terma terkini seperti ChatGPT, Gemini, Jenni AI atau JasperChat adalah tidak asing lagi untuk membantu orang ramai mencari maklumat awal mengenai sesuatu perkara yang ingin diketahui. 

Jelasnya, penggunaan AI juga dilihat dapat membantu belia yang berminat untuk meneruskan kerjaya sebagai usahawan inovasi atau tekno usahawan kerana AI membantu belia yang terlibat dalam perniagaan untuk menganalisis data, merancang pemasaran produk dan mengoptimumkan operasi dengan sumber sedia ada.


Chang menyantuni belia menggunakan AI sambil diperhatikan oleh Prof Md Amin.


Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berharap supaya belia yang dalam kalangan mahasiswa UPSI mengambil peluang menggunakan AI sebagai alat untuk memajukan dan meningkatkan potensi diri dalam pasaran kerja kelak.

“UPSI menerusi Fakulti Komputeran dan Meta-Teknologi (META) dan Fakulti Seni, Kelestarian dan Industri Kreatif (FSKIK) juga sedang giat melaksanakan program berkaitan AI untuk produktiviti dalam pekerjaan yang dilaksanakan di Ruang Daya Cipta (RDC) Tanjong Malim bagi menyokong penggunaan AI dalam kalangan belia di Tanjong Malim.

“Melalui inisiatif ini, pembelajaran AI boleh diperoleh daripada pelbagai medium iaitu secara fizikal atau secara dalam talian,” katanya.

Jelas beliau, Program AI 4 Belia sebagai permulaan akan dilaksanakan secara fizikal di Tanjong Malim dan akan diperluas lagi di tempat-tempat lain.

Tambahnya, UPSI memandang tinggi dan sentiasa berhasrat untuk membantu pihak MOSTI dalam memperkasakan bidang Sains, Teknologi dan Inovasi pada masa yang akan datang.


Prof Md Amin (tiga dari kiri, depan) dan Chang bergambar bersama barisan pengurusan Syarikat Pixlr, UPSI serta belia.


Program AI 4 Belia, menurutnya, program anjuran MOSTI dengan kerjasama UPSI bersama-sama syarikat Pixlr yang membabitkan lebih daripada 100 belia yang menyertai program berkenaan.

“Program ini dimulai dengan sesi pengenalan kepada AI, Pengaplikasian, etika dan impak pekerjaaan, serta peserta juga didedahkan dengan latihan AI Pixlr yang dikendalikan oleh syarikat Pixlr,” terangnya. - KitaReporters

11
15
0
13
0
You will be interested