.

ISU keciciran dalam pendidikan di Malaysia memerlukan perhatian serius kerana khususnya ketidakhadiran lebih 10,000 pelajar untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2023. Ia mencerminkan masalah yang lebih mendalam berkaitan kemiskinan, pengaruh media sosial, dan kekurangan sokongan keluarga.
Antara faktor penyumbang ialah kemiskinan dan keperluan ekonomi. Ramai pelajar terpaksa bekerja untuk membantu keluarga, contohnya, di Sabah, terdapat pelajar yang bekerja atau berkahwin, yang menghalang mereka daripada menduduki SPM .
Selain itu, sebahagian pelajar terpengaruh dengan naratif dalam media sosial yang menyatakan bahawa kejayaan boleh dicapai tanpa pendidikan formal. Tanpa bimbingan yang betul, mereka mungkin memilih untuk tidak menduduki peperiksaan.

Dr Zaliha Mustafa bergambar kenangan bersama pelajar cemerlang SPM 2024 yang pernah mengikuti Program Tuition Mission Putrajaya.
Justeru, usaha Perbadanan Putrajaya (ppj) dengan kerjasama Jabatan Wilayah Persekutuan dan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan mengadakan Program Tuition Mission Putrajaya (Misi Tuisyen Putrajaya) sejak 2021 bukan satu kebetulan tetapi ia hadir daripada kesedaran bahawa pendidikan ialah hak semua, tanpa mengira latar belakang mahupun kemampuan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata Program Tuition Mission Putrajaya adalah salah satu intervensi melalui Program Usaha Jaya Insan (PUJI) bagi menangani masalah ini.
Beliau berkata, walaupun pelaksanaannya masih berskala kecil dan membabitkan 100 pelajar dari Putrajaya tetapi ia adalah usaha yang ikhlas dan meyakinkan apatah lagi program itu menyumbang kepada sejarah kejayaan.

Dr Zaliha Mustafa
"Tahun 2024, kita ada "success story" yang boleh diceritakan, di mana 98 pelajar dari program ini lulus dalam SPM dengan jayanya dan ada antaranya memperoleh keputusan cemerlang 9A.
"Ini membuktikan bahawa apabila peluang itu diberikan dan dibentang seluasnya, potensi anak-anak ini dapat digarap dan diserlahkan," katanya di perasmian Program Tuition Mission Putrajaya 2025 di Dewan Seri Melati, Putrajaya pada 16 Mei 2025.
Turut hadir, Presiden Perbadanan Putrajaya, TPr Datuk Fadlun Mak Ujud; Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan & Sosio Ekonomi) Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), Datuk Parang Abai @ Thomas; Naib Presiden (Perkhidmatan Bandar) Perbadanan Putrajaya, Nik Shukri Nik Soh; dan Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan (MPPWP) Zon Putrajaya, Datuk Ahmad Faisal Abdul Karim.

Program Tuition Mission Putrajaya mendapat peruntukan RM120,000 untuk membiayai keseluruhan kos, termasuk penyediaan modul, seminar motivasi, urus setia program dan pemantauan program.
Dr Zaliha berkata, bagi memastikan program ini berjalan lancar, beliau mengumumkan peruntukan RM120,000 untuk membiayai keseluruhan kos, termasuk penyediaan modul, seminar motivasi, urus setia program dan pemantauan program.
"Saya menyifatkan ini satu pelaburan jangka panjang demi melahirkan generasi pelajar yang mampu memecahkan struktur sosial keluarga mereka untuk keluar daripada kepompongan dan beban kemiskinan selain mengharapkan mereka kembali menyumbang kepada komuniti dan ekonomi negara.
"Saya berharap program ini diperluas pelaksanaannya, dengan penglibatan lebih ramai anak yang memerlukan. Saya minta JWP untuk melihat dan berbincang keperluan ini dengan Jabatan Pendidikan untuk kita panjangkan pelaksanaannya, mungkin di Kuala Lumpur dan Labuan juga.

Sebahagian pelajar sekolah menengah sekitar Putrajaya membuat aku janji menjadi pelajar cemerlang SPM 2025.
"Saya juga mahu pelaksanaan program ini diiringi dengan pemantauan impak. Cuba jejak semula alumni program ini sejak empat tahun lalu, di mana dan apa status mereka sekarang, sama ada mereka benar-benar berjaya memecahkan struktur sosial keluarga mereka seperti yang \saya sebutkan tadi," katanya.
Katanya, perkara itu penting, untuk memastikan program yang dilaksanakan itu tidak hanya bersifat retorik sahaja.
"Pada saya, kita tidak boleh berbangga dengan angka, berapa ramai peserta yang menyertai program ini tapi kita perlu lihat berapa ramai anak ini yang berjaya dalam kehidupan mereka.

Sebahagian guru pembimbing Program Tuition Mission Putrajaya 2025 bergambar kenangan bersama Dr Zaliha.
"Anda (pelajar) dipilih berada dalam program ini kerana keyakinan bahawa kamu mempunyai sesuatu yang istimewa. Mungkin kamu tidak bermula dari tempat yang paling mudah tapi itu bukan alasan untuk menyerah, sebaliknya jika kamu tangani dengan ilmu dan kesungguhan, ia akan menjadi kekuatan kamu satu hari nanti.
"Pesanan saya untuk anak-anak bahawa dalam hidup ini, usah biarkan orang lain menulis takdir kita tapi kita sendiri melakarnya. Insya-Allah, dengan ilmu, usaha dan keyakinan diri, kejayaan adalah untuk mereka yang tidak pernah berhenti berusaha.
"Jangan takut untuk gagal kerana mereka yang berjaya juga pernah gagal. Bezanya, mereka bangkit semula dengan lebih kuat, belajar daripsfs kesilapan dan tidak membiarkan kegagalan menjadi penamat kepada cita-cita mereka," katanya lagi.

Dr Zaliha beramah mesra bersama sebahagian pelajar yang mengambil bahagian dalam Program Tuition Mission Putrajaya
Dr Zaliha mengakui, pelajar masa kini beruntung kerana ada guru-guru yang ikhlas membimbing, ada ibu bapa yang terus berdoa tanpa henti dan kerajaan yang punya ekad, berusaha menyediakan ekosistem pendidikan yang terbaik buat semua.
"Kepada guru-guru yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan program ini sejak empat tahun lalu, saya capkan jutaan terima kasih.
"Tugas eorang guru bukan hanya menyampaikan ilmu,tetapi membebaskan manusia dari belenggu kebebalan dan mengangkat ketamadunan. Anda semua adalah cahaya penerang dalam kegelapan dan cahaya yang berkilau dalam kecemerlangan.
Guru Pemacu Reformasi Pendidikan. Selamat Hari Guru," katanya. - KitaReporters