
Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 yang diumumkan pada 24 April 2025 lalu menyaksikan lonjakan luar biasa bagi pencapaian keseluruhan anak-anak Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) berbanding SPM 2023.
Sebanyak enam anak-anak YKM mencatat keputusan 6A ke atas daripada 36 anak-anak YKM yang menduduki peperiksaan SPM 2024.
Antara enam pelajar tersebut adalah:
- Isma Daniel Khairul Syakirin – SMK Sungai Kapar Indah (10A)
- Alia Batrisya Abu Hassan – MRSM Balik Pulau (9A)
- Irene Hung Xin Yi – SMK Bandar Sibu (9A)
- Mohamad Affiq Danish Mohd Nasir – MRSM Kuantan (7A)
- Wan Nur Aisyah Insyirah Wan Mohd Norhisham – SMJK Tanah Puteh (7A)
- Nur Najma Najihah Sarkawi – SMKA Tun Ahmad Zaidi (6A)

Sehubungan dengan itu, YKM hari ini (29 April 2025) meneruskan tradisi ziarah kasih sempena Program Hadiah Kecemerlangan SPM 2024 di rumah Noor Syahida Mohd Suyud di Kampung Tok Muda, Kapar, Klang.
Anak sulung beliau, Isma Daniel Khairul Syakirin yang menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Kapar Indah telah menjadi kebanggaan keluarga setelah memperoleh keputusan 10A.
Isma Daniel yang juga merupakan salah seorang penerima Bantuan Kasih YKM bersama-sama 5 orang adiknya kini disara sepenuhnya Noor Syahida selepas kehilangan suami tercinta, Khairul Syakirin Abdul Wahab pada 10 Mac 2022 akibat pandemik COVID-19.
Noor Syahida yang berpendapatan sebanyak RM1,500 sebulan menjadikan bantuan bulanan YKM ini sebagai bantuan tambahan untuk memastikan anak-anaknya terus berjaya dalam bidang pendidikan.
Pengerusi YKM, Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut menziarahi keluarga tersebut berkata pencapaian Isma Daniel dan 5 orang lagi anak-anak YKM dalam SPM 2024 adalah satu pencapaian yang amat membanggakan.
“Alhamdulillah, kejayaan mereka ini merupakan bukti bahawa bantuan yang disalurkan oleh YKM adalah selaras dengan visi dan misi YKM iaitu memastikan pendidikan anak-anak ini terus terbela.
“Sering saya tegaskan bahawa pendidikan sahaja yang mampu mengubah nasib diri sendiri dan keluarga.
"Harapan saya agar kejayaan yang telah diperolehi ini bakal menjadi batu loncatan kepada semua anak YKM untuk terus berjaya dalam apa jua bidang yang diceburi kelak.” kata beliau lagi.
Pengerusi YKM turut menyampaikan Hadiah Kecemerlangan SPM 2024 kepada Isma Daniel termasuk barang keperluan asas dan peralatan elektrik seperti periuk nasi dan periuk elektrik serba guna (multi-functional electric frying pan).

Terdahulu, Pengerusi YKM telah berkunjung ke rumah Rohana Nawari bagi menyampaikan bantuan hadiah kecemerlangan tersebut.
Anak kedua beliau, Alia Batrisyia Abu Hassan yang merupakan pelajar Maktab Rendah Sains Mara Balik Pulau telah memperoleh 9A.
Empat lagi anak-anak YKM yang cemerlang dalam SPM 2024 juga akan menerima bantuan hadiah kecemerlangan dan akan disalurkan terus ke akaun bank penerima masing-masing. - KitaReporters/Kenyataan Media
