
Dr Azmil Hashim (dua dari kiri) menyerahkan replika tiket penerbangan ke Singapura kepada Wan Muhammad Irsyad (tengah) dalam satu majlis yang diadakan di Fakulti Sains Kemanusiaan, UPSI.
Empat pelajar dan tiga pegawai Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak, dipilih mengikuti Program ‘Qari in Residence’ sebagai imam di tiga negara sepanjang Ramadan 2025, sekali gus mengharumkan nama institusi itu pada peringkat antarabangsa.
Empat pelajar itu adalah penuntut Ijazah Sarjana Muda Tahfiz Al-Quran dan Qira’at dengan Pendidikan, manakala seorang lagi adalah pegawai universiti berkenaan.
Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, berkata kejayaan itu mencerminkan usaha berterusan universiti dalam melahirkan pelajar yang bukan sahaja berilmu tetapi juga mempunyai nilai kepimpinan tinggi dalam komuniti Islam global.
Menurutnya, dia berbangga dengan pencapaian itu kerana membuktikan bahawa UPSI bukan sahaja menjadi pusat kecemerlangan akademik, tetapi juga pusat yang menyemai bakat dalam bidang keagamaan dan kepimpinan.

Ahmad Najmuddin Marwan (tiga dari kanan) menerima replika tiket penerbangan ke Singapura daripada Dr Azmil.
Jelasnya, pemilihan mereka itu adalah satu penghormatan besar yang menunjukkan kepercayaan dunia luar terhadap keupayaan pelajar dan kakitangan UPSI, sekali gus memberi impak positif kepada mereka dalam membentuk jati diri dan kepimpinan yang mantap.
“Kami melihat ini sebagai satu langkah ke hadapan dalam memperluas jaringan UPSI dengan pusat-pusat pengajian Islam di luar negara selain melahirkan graduan yang bukan sahaja berdaya saing pada peringkat tempatan, tetapi juga persada antarabangsa.
“Mereka bukan sahaja akan berperanan sebagai imam, tetapi
juga sebagai duta kecil yang memperkenal keindahan Islam dan budaya Malaysia
kepada masyarakat luar,” ujar beliau.
Pelajar Muhammad Badrul Amin Derome yang diiringi Prof Madya
Dr Ibrahim Hashim berangkat ke United Kingdom untuk mengimamkan solat tarawih
di Oxford Centre for Islamic Studies (OXCIS), United Kingdom dan akan berada di
sana bermula 22 Februari hingga 1 April 2025.
Manakala Muhammad Fathmi Izwan Rusli akan bertugas di Education Malaysia Australia (EMA), Sydney, Australia serta pelajar Wan Muhammad Irsyad Wan Zulkifli dan Ahmad Najmuddin Marwan yang diiringi Prof Dr Abdul Rahman Abd Ghani pula menyertai program berkenaan di Masjid Darul Ghurfan, Singapura bermula 28 Februari hingga 1 April 2025.

Muhammad Badrul Amin Derome (lima dari kanan) bergambar bersama barisan pensyarah pengiring di KLIA sebelum berlepas ke OXCIS, United Kingdom.
Sementara itu, Pengarah Institut Pendidikan Tahfiz & Turath Islami (IPTTI) UPSI, Prof Dr Azmil Hashim, berkata pemilihan mereka adalah satu pencapaian membanggakan yang membuktikan UPSI bukan sahaja melahirkan pelajar cemerlang akademik, tetapi juga dalam bidang keagamaan.
Menurutnya, pemilihan itu membuka ruang kepada mereka untuk
mengasah bakat sebagai qari dan memperoleh pengalaman berharga dalam interaksi
dengan masyarakat Islam pelbagai latar belakang budaya serta cara hidup.
Katanya, pencapaian berkenaan akan menjadi pemangkin kepada
lebih ramai pelajar UPSI untuk mendalami ilmu tahfiz dan qira’at serta merebut
peluang mengembangkan kemahiran mereka pada peringkat antarabangsa.
“Ini adalah satu peluang yang sangat berharga dan saya berharap ia dapat memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar untuk menyertai program seumpama pada masa hadapan,” katanya.

Muhammad Fathmi Izwan Rusli (tiga dari kanan) menerima replika tiket penerbangan ke Australia daripada Dr Azmil.
Sementara itu, Pengarah Pusat Islam UPSI, Muhammad Tarmizi Abdul Rahman, berkata Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam UPSI, Muhammad Safwan Ismail pula mengimamkan solat tarawih di Education Malaysia Australia, Perth, Australia.
"Selain menjadi imam tarawih beliau juga akan memberi kuliah kepada pelajar dan kakitangan Malaysia di situ.
“Menjadi imam di negara asing bukanlah satu tugas mudah kerana mereka perlu menyesuaikan diri dengan budaya dan persekitaran yang berbeza, namun pengalaman ini menjadikan mereka lebih matang dan bersedia untuk memainkan peranan lebih besar dalam masyarakat Islam kelak,” jelasnya. - KitaReporters

Muhammad Tarmizi Abdul Rahman (kiri) pada majlis simbolik penyerahan bersama Ustaz Safwan Ismail sempena program Mobiliti Imam Ihya Ramadan di Education Malaysia Australia.