

Syabas dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pendidikan Negeri dan Jabatan Belia dan Sukan Negeri kerana telah berjaya mencungkil bakat baharu dalam Pertandingan Kawad Kaki Pasukan Badan Beruniform peringkat negeri yang telah diadakan di Pusat Kokurikulum negeri di Bukit Mertajam pada 22 hingga 23 Julai 2025.
Dalam pertandingan tersebut semua pasukan yang menjadi johan kali ini akan bertarung pula pada peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Putrajaya tidak lama lagi.
Sebanyak 6 kategori dipertanding iaitu kategori Kadet Remaja Sekolah (KRS) Puteri dan KRS Putera. Selain itu, juga dipertanding kategori Badan Kerajaan (GO) Puteri dan GO Putera, serta kategori Badan Bukan Kerajaan (NGO) Puteri dan NGO Putera.
SMKA Syeikh Abdullah Fahim bersama trofi dan hadiah kemenangan.
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Syeikh Abdullah Fahim terbukti berjaya merebut 3 trofi kejuaraan daripada 6 kategori yang dipertanding.
Mereka menghantar seramai 210 pelajar daripada 6 platun yang terdiri dari 2 pasukan KRS Puteri dan Putera, Kadet Sekolah Pertahanan Awam perempuan, serta Pengakap lelaki dan perempuan.
Dalam pertandingan kawad kaki yang diadakan, SMKA Syeikh Abdullah Fahim menjuarai kategori NGO Puteri, KRS Puteri dan KRS Putera.
Kejayaan mereka terserlah lagi apabila berjaya dianugerahkan sebagai Ketua Platun Terbaik bagi kategori GO Putera, NGO Putera dan NGO Puteri.


SMK Dato'Onn menerima trofi dan hadiah setelah menjadi Johan kategori GO Puteri.
Bagi kategori GO Puteri, johan adalah SMK Dato' Onn. Naib Johan ialah SMKA Syeikh Abdullah Fahim dan ketiga adalah SMK Raja Tun Uda.
Untuk kategori GO Putera pula, johan disandang oleh SMJK Jit Sin dan naib johan ialah SMKA Syeikh Abdullah Fahim dan ketiga SMJK Chung Ling.
Manakala bagi kategori NGO Puteri pula johan ialah SMKA Syeikh Abdullah Fahim. Naib johan adalah SMK Perempuan Cina dan tempat ketiga ialah SMK Teluk Kumbar.
Johan bagi kategori NGO Putera ialah SMJK Chung Ling dan naib johan adalah SMKA Syeikh Abdullah Fahim. Tempat ketiga disandang oleh SMJK Jit Sin.
Untuk kategori KRS Puteri pula SMKA Syeikh Abdullah Fahim menjadi johan dan naib johan dimenangi SMK Sains Kepala Batas, manakala SMJK Phor Tay menduduki tempat ketiga.
Kategori KRS Putera pula, johan sekali lagi dimenangi SMKA Syeikh Abdullah Fahim. Naib johan oleh SMK Bukit Jambul dan tempat ketiga ialah SM Sains Kepala Batas.
Majlis penutup telah dirasmikan oleh Exco Belia, Sukan dan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Daniel Gooi Zi Sen. - KitaReporters
