Selepas lebih tiga dekad menabur bakti dalam dunia pendidikan, Cikgu Mohamad Nazir Ibrahim diraikan dalam satu majlis persaraan yang penuh bersejarah di Sekolah Kebangsaan (SK) Pida Tiga, Jitra pada 9 Oktober 2025 lalu.


Cikgu Mohamad Nazir bersama Guru Besar, Zamri Abdul Majid.
Majlis itu menjadi unik kerana keseluruhan protokol dikendalikan sepenuhnya oleh murid tahun enam sekolah berkenaan.
Pengacara majlis, Nur Athirah Fatiah Muhd Khairul Anuar, berjaya memimpin acara dengan penuh yakin, dibantu oleh Ketua Pengawas, Nur Alisha Sofia Shaiful Ahmad.
Doa pula yang dibacakan dengan penuh syahdu oleh Megat Nor Akmal Megat Nor Shahder, menambahkan lagi keharuan suasana.

Acara kemuncak ialah arakan persaraan yang berlangsung penuh meriah dan sarat emosi.
Cikgu Mohamad Nazir diiringi oleh Guru Besar, Zamri Abdul Majid, barisan guru serta staf sekolah sambil diarak dengan kompang, payung berhias dan bunga manggar.
Murid-murid berbaris sepanjang laluan sambil melambai serta menitipkan ucapan terima kasih kepada guru kesayangan mereka.

Perarakan beradat dengan iringan bunga manggar mewarnai hari penuh kenangan.

Cikgu Mohamad Nazir pernah berkhidmat di Sabah selama 10 tahun sebelum kembali ke Kedah dan berbakti selama 23 tahun terakhir di SK Pida Tiga.
Beliau dikenang sebagai seorang guru yang berdedikasi, penyayang dan berkomitmen tinggi dalam membimbing ribuan anak didik.
“Persaraan ini bukan sekadar perpisahan, tetapi tanda kasih sayang warga sekolah terhadap jasa besar beliau.

Murid-murid Sekolah Kebangsaan Pida Tiga menadah tangan dengan penuh khusyuk mendoakan kesejahteraan guru kesayangan mereka sempena majlis persaraan di sekolah itu.
Lebih bermakna apabila murid diberi kepercayaan untuk mengendalikan sendiri perjalanan majlis, satu pengalaman yang sangat berharga,” kata Zamri ketika ditemui.
Majlis itu dihadiri kira-kira 250 murid, 25 guru dan tiga staf sokongan, dan ditutup dengan suasana penuh sebak apabila tepukan gemuruh, doa serta air mata perpisahan mengiringi langkah terakhir seorang guru yang jasanya akan terus terpahat dalam sejarah SK Pida Tiga. - KitaReporters
