
Kecemerlangan Nur Airish Hani membanggakan SMK IJ Convent, Johor Bahru.
Keterbatasan fizikal tidak pernah mematahkan semangat pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) IJ Convent, Johor Bahru, Nur Airish Hani Roszaidi untuk berdiri sebaris dengan rakan-rakan lain dalam arus perdana pendidikan.
Beliau merupakan murid berkeperluan khas (MBK) yang menghidap penyakit ‘spina bifida’ (kerosakan saraf tunjang) yang dihidapi sejak lahir itu mengukir satu kisah ketabahan apabila Nur Airish Hani membuktikan bahawa kekuatan sebenar tidak diukur daripada keadaan tubuh semata-mata, tetapi pada iltizam dan keberanian untuk mencuba.
Nur Airish Hani bersama rakan-rakan beraksi pada Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Negeri Johor.
Di sebalik cabaran yang dihadapi, Nur Airish Hani tetap gigih membabitkan diri dalam aktiviti kokurikulum, termasuk Pertandingan Bicara Berirama yang memerlukan disiplin, keyakinan dan komitmen yang tinggi.
Pada bulan Jun 2025, Nur Airish Hani bersama pasukan sekolahnya melakar kejayaan manis apabila muncul sebagai juara peringkat daerah Johor Bahru.
Kemenangan itu menjadi simbol kejayaan bersama yang bukan hanya untuk dirinya, tetapi juga untuk sekolah apabila berbangga dengan semangat juang anak didik itu.
Menurut sumber Persatuan Spina Bifida dan Hidrosefalus Malaysia, perjalanan Nur Airish Hani tidak terhenti di situ kerana dengan penuh tekad, dia dan rakan-rakan mewakili daerah Johor Bahru ke Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Negeri Johor yang berlangsung di Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) Pagoh pada 19 Ogos 2025.
Tambah sumber itu, walaupun hanya berjaya meraih tempat keempat, pencapaian berkenaan tetap luar biasa kerana ia bukan sekadar kedudukan dalam pertandingan, tetapi bukti nyata bahawa seorang pelajar berkeperluan khas mampu melangkaui batasan yang sering digariskan oleh masyarakat.

Nur Airish Hani Roszaidi meraikan kejayaan bersama ibu tersayang.
Apa yang lebih mengharukan, jelas sumber berkenaan, semangat Nur Airish Hani menjadi inspirasi kepada rakan-rakan serta seluruh warga sekolah kerana keberanian dia untuk berdiri di pentas, bersuara lantang bersama kumpulan dan menyahut cabaran besar adalah teladan yang menyentuh hati.
Kisah Nur Airish Hani itu membuktikan
bahawa murid berkeperluan khas juga berhak mendapat ruang dan peluang untuk
bersinar dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.
Lebih penting lagi, kejayaan Nur Airish Hani adalah hasil daripada sokongan padu keluarga, guru, rakan-rakan, serta masyarakat sekeliling, -- gabungan sokongan dan kepercayaan sedemikian yang membolehkan seorang remaja atau pelajar istimewa membuktikan bahawa orang kurang upaya (OKU) juga boleh berjaya jika diberi peluang dan dorongan.
“Kisah Nur Airish Hani ini adalah obor semangat buat semua remaja, bahawa setiap insan tanpa mengira kekurangan memiliki potensi yang besar untuk cemerlang.
"Nur Airish Hani sudah menunjukkan kepada kita bahawa kejayaan bukan hanya milik mereka yang sempurna fizikalnya, tetapi milik sesiapa sahaja yang berani bermimpi dan gigih berusaha.
“Semoga langkah berani seorang remaja ini terus menjadi inspirasi, bahawa setiap cabaran bukanlah noktah pengakhiran, sebaliknya permulaan untuk kita mengorak langkah lebih jauh dalam kehidupan,” ujar sumber itu. - KitaReporters

Nur Airish Hani bersama-sama rakan dan guru meraikan kejayaan pada Pertandingan Bicara Berirama Peringkat Negeri Johor.
___________